Walcott main peranan lebih besar musim depan

Walcott main peranan lebih besar musim depan

LONDON, 26 Mei (AFP) – Arsene Wenger menjangkakan wira hatrik Theo Walcott akan memainkan peranan lebih besar buat Arsenal musim depan sekiranya isu kecergasan dan rundingan kontrak akhirnya diselesaikan.

Walcott menyumbat tiga gol dalam tempoh 37 minit pertama ketika Gunners menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 4-1 ke atas West Bromwich Albion di Stadium Emirates, kelmarin.

Pemain sayap England berusia 26 tahun itu sudah lama menyuarakan hasrat bermain lebih banyak di serangan berbanding di sayap.

Namun impiannya terencat dengan kecederaan lutut serius dialami pada Januari 2014 yang menyebabkannya diketepikan hingga 10 bulan dan menjejaskan prestasinya ketika dia secara perlahan-lahan kembali ke tahap kecergasan terbaik musim ini.

Bagaimanapun, berikutan persembahan cemerlangnya menentang West Brom, Wenger menjelaskan Walcott mempunyai karakter diperlukan untuk menyaingi Olivier Giroud bagi mengemudi serangan Gunners pada masa depan.

Walcott membawa anaknya selepas perlawanan liga menentang West Brom di Stadium Emirates selesai kelmarin. – AFP
Walcott membawa anaknya selepas perlawanan liga menentang West Brom di Stadium Emirates selesai kelmarin. – AFP

“Saya sering kali menyatakan Theo boleh beraksi di tengah kerana dia memiliki pergerakan dan penamat bagus. Dia bertindak hebat hari ini,” ujar Wenger.

“Dia seorang penjaring gol yang bagus tapi tidak beraksi hampir setahun.Dalam bola sepak tempoh panjang diperlukan untuk kembali ke tahap terbaik, bagi mengukuhkan ketajaman dan keyakinan.

“Theo berada pada usia terbaik, 26 tahun usia yang bagus bagi seorang pemain bola sepak.

Saya hanya berharap dia bebas daripada kecederaan. Anda harus sering kali tampil bagi membuktikan potensi anda.”

Walcott kini memasuki tahun terakhir kontrak tiga setengah tahun bernilai 100,000 pound seminggu namun rundingan menemui jalan buntu baru-baru ini bagaimanapun Wenger mengesahkan kelab itu sudah mula melakukan rundingan dengan wakilnya mengenai kontrak baru.

“Tanpa hatrik atau dengan hatrik sekalipun, kami mahu dia kekal. Kami sedang berunding sekarang,” jelas Wenger.