Walcott mampu menyinar

Walcott mampu menyinar

LONDON, 6 Ogos – Aaron Ramsey percaya Theo Walcott akan mengharungi musim baru dengan cemerlang selain yakin rakan sepasukannya itu mampu melakar nama sebagai antara pemain yang pernah meledak 100 jaringan di Liga Perdana Inggeris.

Setakat ini, pemain antarabangsa England itu sudah menjaringkan 76 gol sepanjang 302 penampilan bersama kelab sejak menyertainya dari Southampton pada usia 16 tahun.

Walcott menamatkan kempen 2014/15 dengan menjaringkan empat gol sepanjang dua perlawanan dan Ramsey percaya rakannya itu pasti lebih menggegar musim ini.

“Dia bermain dengan baik serta cemerlang pada hujung musim lalu,” kata Ramsey kepada laman web rasmi Arsenal. “Dia juga kelihatan hebat dan berbahaya ketika kami mengharungi pra musim.

“Sentuhannya tajam, dia kelihatan sangat mantap dan berbahaya buat benteng pertahanan lawan.

Walcott (kiri) disaingi oleh John Terry dari Chelsea dalam aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley 2 Ogos lalu. – Reuters
Walcott (kiri) disaingi oleh John Terry dari Chelsea dalam aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley 2 Ogos lalu. – Reuters

“Dia seorang penjaring – dia sudah melakukannya banyak kali bersama Arsenal dan saya yakin dia boleh meneruskan catatan itu. Tidak mustahil dia mampu melepasi 100 tahun ini.

“Dia mempunyai karektor yang kuat. Dia percaya kepada kemampuannya dan sudah tentu dia mempunyai kualiti baik untuk ditawarkan.

“Dia mampu meledak jaringan – salah satu perkara paling sukar di dalam bola sepak ialah menjaringkan gol – tetapi dia sudah melakukannya banyak kali untuk Arsenal. Kami semua harap dia mampu meneruskan gerakan pemusnahnya itu.” – Agensi