Wales gagal bawa pulang tiga mata

Wales gagal bawa pulang tiga mata

CARDIFF, 13 Nov – Bintang sensasi Real Madrid, Gareth Bale mengakui Wales begitu kecewa untuk melepaskan gol minit akhir selepas pasukannya itu diikat Serbia 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, di sini, awal pagi tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan semi-finalis Euro 2016 itu kekal pada kedudukan ketiga Kumpulan D dengan enam mata daripada empat aksi pertama, empat mata ketinggalan kepada peneraju, Republik Ireland dan dua di belakang Serbia.

Ia adalah kali ketiga skuad bimbingan Chris Coleman kehilangan kelebihan gol pada kempen ini, selepas diikat 1-1 di laman sendiri oleh Georgia dan 2-2 di Austria. “Kami sangat kecewa buat masa ini.

Kami bermain baik pada separuh masa pertama tetapi ia mula pudar selepas itu,” kata Bale yang meletakkan Wales di depan pada minit ke-30 dan melihat percubaannya dinafikan palang beberapa saat sebelum Serbia menyamakan kedudukan.

Aksi Gareth Bale pada perlawanan tersebut belum mencukupi untuk memberikan kemenangan buat pasukannya. - AFP
Aksi Gareth Bale pada perlawanan tersebut belum mencukupi untuk memberikan kemenangan buat pasukannya. – AFP

“Ia adalah satu perkara lumrah, apabila anda semakin hampir dengan penghujung, dan kemudian mereka bangkit menjaringkan gol,” kata penyerang Real Madrid itu kepada BBC.

“Kami kehilangan dua mata. Apapun saya percaya kami masih melakukan sesuatu. Kami hanya perlu terus bekerja keras.”

Perancang tengah Joe Ledley, berkata: “Kami amat berpuas hati dengan persembahan tadi. Seterusnya kami akan berdepan Ireland dan ia menjadi aksi wajib menang.”

Bale membuat percubaan yang terkena palang pada minit ke-85 dan Serbia bangkit mengikat perlawanan 45 saat kemudian apabila Aleksandar Mitrovic meneruskan kecemerlangan prestasinya dengan menanduk masuk gol berharga itu. – AFP