Wales larang isteri, teman wanita di Euro 2016

Wales larang isteri, teman wanita di Euro 2016

LONDON, 22 Mac – Pengurus Wales, Chris Coleman tidak akan membenarkan seorang pun isteri dan teman wanita pemainnya untuk berada di hotel pasukan itu ketika Euro 2016.

Coleman sedar dengan bahaya kehadiran isteri dan teman wanita atau dikenali WAGS yang sentiasa menjadi isu ketika kejohanan besar sejak kempen skuad England pada 2006 di Jerman dibayangi kehadiran diva seperti Victoria Beckham dan Coleen Rooney.

Wales ketika ini berharap untuk mencetuskan impak pada kejohanan besar pertama selepas 58 tahun dengan Coleman mendedahkan yang dia mahu pemainnya memberikan fokus penuh sekurang-kurangnya di peringkat kumpulan pada aksi di Perancis itu nanti dan bukan diganggu masalah keluarga.

Ia bermakna, isterinya sendiri yang juga penyampai televisyen, Charlotte Coleman dan teman wanita bintang Real Madrid Gareth Bale, Emma Rhys-Jones perlu berada di rumah.

“Kami mempunyai tiga perlawanan dan di sana tidak akan ada keluarga, tiada teman wanita, isteri di hotel kami pada tahap pertama peringkat kumpulan,” kata Coleman dengan skuad Wales ditempatkan di Resort Brittany di Dinard pada kejohanan itu.

“Kami mempunyai tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari dan tiada banyak masa, kami perlu bersedia, mengharungi perjalanan, bermain dan kemudian mengharungi perjalanan semula.

“Kami bercakap mari kita lepaskan peringkat kumpulan kerana akan ada tempoh enam hari selepas itu dan kami akan mempunyai hari untuk mengatakan OK untuk menghabiskan sedikit masa dengan keluarga dan kemudian, kembali bermain.”

Wales dijadualkan bertemu Slovakia, England dan Russia dalam peringkat kumpulan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA