Wales terima padah

Wales terima padah

LONDON, 30 Sept (Reuters) – Wales menerima padah walaupun menewaskan England dalam perlawanan peringkat Kumpulan A Piala Dunia Ragbi Sabtu lalu apabila Scott Williams dan Hallam Amos tersingkir terus daripada kejohanan akibat kecederaan yang dialami dalam perlawanan itu, begitu juga dengan pemain tuan rumah Billy Vunipola.

Satu lagi kuasa besar ragbi dunia Scotland turut kehilangan seorang pemain mereka selepas Grant Gilchrist cedera pangkal paha.

Sebaik sahaja Wales secara rasminya disenaraikan sebagai pasukan kedua terbaik dunia selepas menumpaskan England 28-25 di Twickenham, iaitu pencapaian terbaik mereka, namun dengan kehilangan pemain tengah Williams akibat cedera lutut dan pemain sayap Amos yang terkehel bahu telah membuatkan mereka berada dalam kebimbangan.

Dua pemain itu bakal digantikan oleh James Hook serta Gareth Anscombe untuk menghadapi perlawanan seterusnya.Dalam pada itu, Wales tidak dapat menurunkan full back utama, Liam Williams dalam pertemuan menentang Fiji esok kerana mengalami gegaran di bahagian kepala sewaktu menentang England.

Kecederaan tersebut berlaku selepas pemain sayap tuan rumah Tom Wood secara tidak sengaja menyepak kepala Williams sehingga mengakibatkan kecederaan serius, bagaimanapun dia bebas daripada menerima hukuman pengadil dan boleh beraksi menentang Australia dalam satu lagi aksi kumpulan pada Sabtu ini.

Pemain veteran England, Nick Easter yang tidak dipanggil menggalas cabaran negaranya sejak edisi 2011 telah kembali untuk mewakili England, menggantikan Vunipola yang mengalami kecederaan pada bahagian ligamen ketika menentang Wales.

Easter, 37, dilihat lebih kerap memanaskan bangku simpanan selepas Ben Morgan bebas daripada kecederaan setelah tidak beraksi menentang Wales akibat kecederaan lutut.

Sementara itu, England dan Wales dilihat kekal fokus untuk menghadapi perlawanan seterusnya, bagaimanapun akhbar tempatan British masih mempertikaikan keputusan pasukan tuan rumah untuk tidak melakukan sepakan penalti yang boleh membuatkan mereka mengikat kedudukan dengan Wales pada penghujung perlawanan Sabtu lalu.