Walkaton amal Maktab Duli

Walkaton amal Maktab Duli

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Maktab Duli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Hampir 1,200 peserta yang terdiri daripada para pelajar, pensyarah-pensyarah, pegawai dan kakitangan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah hari ini telah menyertai acara walkaton anjuran maktab berkenaan.

Turut menyertai walkaton pagi tadi itu ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayangku Zalina binti Pengiran Haji Aliuddin dan Timbalan Pengetua Akademik, Haji Juma’ata Sonadey bin Haji Mornie.

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik bagi memanaskan badan di trek dan padang sekolah dan kemudian, para peserta berjalan sepanjang empat kilometer di sekitar kawasan maktab.

Para pelajar melakukan senamrobik sebelum memulakan acara walkaton.
Para pelajar melakukan senamrobik sebelum memulakan acara walkaton.

Acara ini bertujuan untuk mengumpul dana dalam membantu pihak maktab untuk membeli sumber pengajaran, membiayai projek-projek dan majlis perwakilan pelajar di samping mendermakan hasil daripada dana yang dikutip kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim.

Selain itu, ia juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pelajar dan pensyarah, guru serta ahli kakitangan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di samping memupuk gaya cara hidup sihat.