Walkaton Amal ‘Minal Masjid Ilal Masjid’

Walkaton Amal ‘Minal Masjid Ilal Masjid’

Oleh Rizal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Walkaton Amal “Minal Masjid Ilal Masjid” 2015 anjuran bersama Masjid Jefri Bolkiah Kampung Batong dan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD) berlangsung baru-baru ini di Masjid Jefri Bolkiah Kampung Batong dan juga Masjid Kampung Panchor Murai.

Acara dimulakan dengan solat fardu subuh berjemaah serta kuliah subuh yang disampaikan oleh penceramah tempatan Awang Adi Aismat bin Lamat dengan tajuk ceramah “Generasi Solat, Generasi Hebat”.

Acara tersebut dihadiri oleh tetamu kehormat majlis Pemangku Pengarah jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Haji Tahir bin Haji Tarip dan Ketua Kampung Batong, Haji Saban bin Lamat.

Tepat jam 7 pagi, acara walkaton dimulakan dengan senaman pemanasan badan yang diketuai oleh Pengiran Mohamad bin Pengiran Haji Osman dan peserta walkaton mula berjalan dari Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong menuju ke Masjid Kampung Panchor Murai dan berpatah balik ke Masjid Jefri Bokiah Kampung Batong.

Antara jemaah masjid yang menyertai walkaton amal itu.
Antara jemaah masjid yang menyertai walkaton amal itu.

Perjalanan sejauh 4 km tersebut mengambil masa 50 minit dan mempunyai tempat berhenti “Checkpoint” di tempat-tempat tertentu sepanjang perjalanan.

Walkaton Amal berkenaan bertujuan mengutip derma bagi Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal dan memberi pendedahan kepada penduduk di Kampung Batong dan sekitarnya.

Program ini juga bertujuan mempelbagaikan lagi projek-projek dikendalikan Akademi Pengajian Brunei dalam aspek keugamaan dan kerohanian serta menarik para belia untuk melibatkan diri di dalam kegiatan-kegiatan hal ehwal masjid dan kemasyarakatan.

Majlis disudahi dengan penyampaian cenderamata kenangan disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA