Walkaton Amal sempena 50 tahun SMALHB

Walkaton Amal sempena 50 tahun SMALHB

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Sebanyak $21,074 telah berjaya dikumpulkan menerusi Walkaton Amal yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) sempena ulang tahun penubuhannya ke-50 tahun.

Hasil kutipan tersebut disumbangkan kepada Penerbitan Majalah 50 tahun SMALHB, keperluan SMALHB, pelajar-pelajar SMALHB yang kurang berkemampuan, Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, Tabung Kebajikan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Persatuan Kanak-kanak Cacat Anggota (KACA) dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

Penyerahan sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong selaku tetamu kehormat majlis yang diadakan di kawasan letak kereta, SMALHB, hari ini.

Kutipan bagi acara Walkaton Amal ini telah dilancarkan pada 25 Februari lalu dan berakhir pada 27 Februari. Terdahulu, majlis dimulakan dengan senamrobik dan Majlis Pelepasan Walkaton Amal sempena 50 tahun SMALHB yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Tetamu kehormat menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada walkaton kepada wakil Pusat Ehsan.
Tetamu kehormat menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada walkaton kepada wakil Pusat Ehsan.
Tetamu kehormat yang turut menyertai walkaton tersebut.
Tetamu kehormat yang turut menyertai walkaton tersebut.
Kalangan peserta-peserta wanita yang mengikuti walkaton itu.
Kalangan peserta-peserta wanita yang mengikuti walkaton itu.

Walkaton Amal ini dianjurkan untuk mencapai objektif iaitu mempromosikan cara hidup sihat dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W iaitu beriadah, di samping untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan warga dan alumni SMALHB serta keluarga. Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar ketika ditemu bual menyatakan bahawa acara walkaton amal ini juga disertai oleh para alumni SMALHB, dan menggambarkan pertemuan kali ini ibarat pertemuan keluarga yang amat besar, kerana dengannya semua rakan lama dapat bertemu kembali setelah sekian lama tidak berjumpa.

Walkaton ini juga adalah sebagai inisiatif bagi menambah kewangan sekolah untuk membeli keperluan sekolah dalam meningkatkan lagi mutu pembelajaran di sekolah berkenaan dan juga sebagai inisiatif pihak sekolah bagi membantu para pelajar SMALHB yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Acara walkaton amal ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori 2.82km bagi peserta lelaki dan 2km bagi peserta perempuan.

Selain daripada itu, acara tersebut turut dimeriahkan dengan bazar yang menjual barangan seperti penanda buku, poskad 50 tahun SMALHB, keychain 50 tahun SMALHB, payung SMALHB dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA