Walsh kembali bimbing hoki Malaysia

Walsh kembali bimbing hoki Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – Selepas 22 tahun, Terry Walsh dari Australia akan kembali semula ke negara ini dengan peranan untuk memulih dan mengembalikan zaman kegemilangan hoki Malaysia di persada antarabangsa.

Walsh yang pernah menjadi ketua jurulatih negara dari tahun 1990 hingga 1993, bakal dilantik sebagai Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selaras dengan rancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk meningkatkan prestasi sukan itu.

Dia sebelum ini bertanggungjawab membawa India layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janerio, Brazil selepas membimbing pasukan itu menjuarai Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan selepas 16 tahun.

Juara Sukan Asia 2014 itu memperoleh tiket automatik ke Rio, selaku juara benua. Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata Walsh secara dasar bersetuju dengan tawaran itu dan kemungkinan akan memulakan tugas pada Ogos atau September ini.

“Beliau akan diberi peranan untuk membangunkan sukan hoki secara total dan bukan secara spesifik, baik untuk skuad lelaki mahupun skuad wanita,” katanya kepada pemberita di sini, lewat petang semalam.

Ahmad Shapawi berkata, MSN akan mengadakan perbincangan dengan MHC selepas Aidilfitri ini sebelum memuktamadkan pelantikan Walsh.

Katanya, Walsh akan bertanggungjawab merombak semula struktur pembangunan sukan hoki yang sedia ada, antara lain sistem kejurulatihan, menyelia program latihan skuad negara, program pembangunan, pertandingan dan pencarian bakat.

“Walsh mempunyai pengalaman dan kepakaran serta terbukti dengan pencapaiannya sebagai bekas pemain Australia dan juga jurulatih Australia dan India sebelum ini,” katanya.

Pengendali berusia 61 tahun itu turut membimbing skuad ‘Kookaburras’ meraih pingat emas Sukan Komanwel 1998, juara Kejohanan Trofi Juara-Juara 1999 dan pingat perak Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.

Adalah difahamkan Walsh akan memainkan peranan utama dalam pelantikan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan dan juga jurulatih skuad remaja. Ketua jurulatih skuad kebangsaan sekarang ialah Tai Beng Hai.

Barisan jurulatih yang sedia ada pernah mendapat tunjuk ajar sebagai penolong jurulatih atau pemain ketika Walsh membimbing skuad negara antara tahun 1990 dan 1993.