Wan Junaidi redakan kebimbangan jerebu teruk tahun ini

Wan Junaidi redakan kebimbangan jerebu teruk tahun ini

KUCHING, 7 Julai – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini meredakan sedikit kebimbangan mengenai jerebu merentas sempadan teruk yang akan berlaku tahun ini.

Beliau berkata Indonesia, tempat asal jerebu akibat pembakaran hutan berikutan penerokaan tanah, nampaknya memainkan peranan menghormati komitmennya untuk mengawasi fenomena tahunan ini.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa titik panas di Sumatera dan dua di Kalimantan, katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini.

Wan Junaidi berkata, undang-undang Indonesia membenarkan 40 peratus pekebun kecil menuai kelapa sawit dan pokok-pokok untuk pulpa dan kertas menjalankan pembakaran terbuka di tanah ladang mereka kira-kira dua hektar setiap seorang.

Bagaimanapun, beliau percaya jerebu tidak akan menjadi begitu serius tahun ini memandangkan Indonesia menghadapi banyak tekanan daripada Malaysia dan Singapura yang teruk menghadapi fenomena ini.

“Apa pun, Indonesia masih bertanggungjawab kepada negara-negara jiran berdasarkan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002,” katanya. – Bernama