Wan Junaidi ulangi komitmen M’sia terhadap pemuliharaan hutan

Wan Junaidi ulangi komitmen M’sia terhadap pemuliharaan hutan

MARRAKECH, 17 Nov – Malaysia mengulangi komitmennya terhadap pemuliharaan dan pengurusan hutan secara lestari pada persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim yang sedang berlangsung di sini dan dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan serta menteri bertanggungjawab bagi alam sekitar dari lebih 190 negara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika berucap pada persidangan itu pada lewat Rabu (awal Khamis di Malaysia), juga mengulangi komitmen padu Malaysia ke arah mencapai objektifnya berkaitan iklim melalui pelaksanaan matlamat pembangunan lestari.

“Satu daripada tonggak kekuatan kami ialah dalam bidang pengurusan hutan dan pengurusan hutan secara lestari. Rekod pengurusan hutan kami bermula pada 1905, termasuk Hutan Simpan Bakau Matang (di Sarawak). Hari ini, tempat itu diiktiraf sebagai antara hutan bakau yang diurus dengan paling baik di dunia,” katanya.

Ketika ini, 54.5 peratus daripada keluasan Malaysia diliputi hutan dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan kawasan daratannya akan dikekalkan sebagai kawasan hutan dan dipenuhi pokok.

Wan Junaidi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu, berkata Malaysia juga komited terhadap usaha mengurangkan pelepasan gas daripada pembasmian hutan dan degradasi hutan, di samping meningkatkan peranan pemuliharaan, pengurusan hutan secara lestari dan pengukuhan stok karbon hutan di negara membangun, yang disebut sebagai REDD+. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA