Wang kertas peringatan keputeraan

Wang kertas peringatan keputeraan

Oleh Fadley Faisal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah memperkenalkan wang kertas dolar Brunei edisi terhad sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69.

Wang kertas polimer belum dipotong dan sah diperlakukan itu, akan dijual kepada orang ramai mulai Isnin, 31 Ogos ini.

Pengarah Eksekutif Jabatan Operasi Monetari AMBD, Awang Mardini bin Haji Eddie berkata, jualan dalam jumlah terhad wang kertas $1 dan $10 mula dijual pada 31 Ogos dan orang ramai boleh membelinya daripada AMBD yang terletak di Commonwealth Drive pada waktu pejabat.

Bercakap pada sidang media di Bangunan Lembaga Matawang dan Monetari Brunei di sini, beliau berkata, tiga keping blok $1 yang belum dipotong dijual pada harga $40 manakala lapan keping blok $1 berharga $100.

Tiga keping blok $10 pula dijual pada harga $70 dan lapan keping blok $10 boleh dibeli dengan harga $200.

Awang Mardini (kiri) menunjukkan wang kertas peringatan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-69.
Awang Mardini (kiri) menunjukkan wang kertas peringatan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-69.

Wang-wang kertas ini mempunyai nilai lebih tinggi jika ia diperlakukan, kata Awang Mardini sambil menambah bahawa kebiasaannya para pengumpul lebih berminat untuk mendapatkan blok-blok wang kertas belum dipotong ini untuk menambahkan lagi koleksi peribadi mereka.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai wang-wang kertas peringatan ini serta wang-wang kertas dan syiling peringatan AMBD yang lain, bolehlah menghubungi Unit Pengurusan Matawang di talian 2382186.

Menurut Awang Mardini, sebelum ini AMBD habis menjual wang kertas polimer $20 Brunei-Singapura yang belum dipotong, yang dikeluarkan di kedua-dua buah negara bersempena ulang tahun ke-40 Perjanjian Kesaling Boleh Tukaran Matawang (Currency Inter-changeability Agreement – CIA) antara Brunei dan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA