Wang tunai fa...

Wang tunai fardu haji hangus

20-tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 23-29 Januari 1997 – Wang tunai $7,000 untuk menunaikan fardu haji adalah antara yang hangus dalam kebakaran yang meranapkan dua buah rumah kepunyaan Haji Laman bin Bakar dan anaknya, Awang Abdul Halim, pada kira-kira jam 12 tengah hari di Kampung Tasek Meradun baru-baru ini.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada sebuah kereta yang rosak di bawah rumah yang ditumpangkan kepada pemilik bengkel kereta di hadapan rumah itu.

Menurut menantu kepada Awang Abdul Halim, Awang Asmali bin Aman, 25, anak saudaranya itu mengakui menyaksikan dua kereta berwarna putih dan merah menghampiri kereta yang rosak beberapa minit sebelum ia terbakar.

Beliau bagaimanapun tidak sempat memerhatikan nombor pendaftaran kedua buah kereta itu kerana ia dipandu dengan laju setelah kereta yang diletakkan di bawah rumah terbakar.

Kemarakan api daripada kereta itu kemudiannya menyambar pula rumah papan Haji Laman. Namun Haji Laman sempat menyelamatkan diri, api yang marak itu kemudiannya menyambar pula rumah anaknya yang didirikan di sebelah.

Sebuah kereta bomba yang dikejarkan dari Ibu Pejabat Bomba Bandar Seri Begawan tiba kira-kira setengah jam kemudian berjata mengawal api daripada terus merebak.

Ketika ditemui, Awang Abdul Halim berkata bahawa baru-baru ini beliau baru sahaja mengeluarkan wang tunai sebanyak $7,000 dari bank sebagai bayaran menunaikan haji pada tahun ini.

“Sekarang semua harta saya, termasuk wang simpanan dan wang perbelanjaan harian kami, hangus dalam kebakaran ini.”