Wanita asing ...

Wanita asing dijatuhi 4 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Seorang wanita warga asing dijatuhi empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di Brunei Darussalam.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Rohayah binti Syamroni, 41, dari Kuningan, Indonesia.

Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tinggal selama 605 hari di negara ini selepas pas lawatannya mansuh pada 9 Mei 2015 tanpa suatu sebab yang munasabah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen, Penggal 17 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dari dua tahun serta tidak kurang daripada tiga kali sebatan (pesalah lelaki) manakala itu, pesalah wanita dikenakan denda sebagai ganti sebatan.

Kertas pertuduhan menyebut, Rohayah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah kepada penguat kuasa imigresen yang ketika itu menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah sewa di Kampung Salambigar pada 4 Januari 2017.

Dia dibawa ke Jabatan Imigresen yang mana siasatan mendapati tertuduh memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Imigresen Labu, Temburong pada 25 April 2015 dan diberikan pas lawatan sehingga 9 Mei 2015.

Sistem pangkalan data imigresen menunjukkan tidak ada rekod pas lawatan diperbaharui oleh tertuduh selepas tarikh mansuh tersebut.

Sepanjang berada di negara ini, tertuduh mengaku bekerja sebagai pembantu rumah bebas.

ARTIKEL YANG SAMA