Wanita bekerja semakin meningkat

Wanita bekerja semakin meningkat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Bilangan wanita yang bekerja semakin meningkat di negara ini dengan statistik menunjukkan pada tahun 2011 sebanyak 42.2 peratus populasi wanita bekerja berbanding 41.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Manakala berdasarkan statistik kategori pekerjaan bagi 2014, wanita dalam perkhidmatan awam mencatatkan peningkatan 52.7 peratus manakala dalam sektor swasta 30.1 peratus.

Jumlah itu dikongsi oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman ketika menyampaikan pembentangan di World Assembly for Women Shine Weeks (WAW! Tokyo) di Pusat Latihan Pelbagai Guna CAE Brunei, Jalan Tungku Link.

Menurutnya lagi, sejumlah 41 peratus daripada 198,400 orang wanita di negara ini adalah mereka yang bekerja dan jumlah ini memenuhi 57 peratus kekosongan dalam pasaran pekerjaan di sini.

Datin Paduka Hajah Adina ketika menyampaikan pembentangannya.
Datin Paduka Hajah Adina ketika menyampaikan pembentangannya.
Antara yang hadir ke majlis berkenaan, kelmarin.
Antara yang hadir ke majlis berkenaan, kelmarin.

“Dalam bidang kerja sokongan kesetiausahaan di negara ini, wanita mencatatkan jumlah terbanyak dengan catatan 68 peratus, diikuti dalam bidang profesional sebanyak 57.2 peratus dan kerja latihan pada 48.2 peratus,” ujarnya.

Ini berdasarkan statistik pekerjaan wanita Brunei tahun 2011 yang kemudiannya diikuti bidang teknikal (39.7%), perundangan, pengurusan dan pegawai kanan rasmi (36.4%), kerja perkhidmatan dan jualan (28%), kraf dan perdagangan (20%), pertanian, perhutanan dan perikanan (16.3%) manakala pemesinan (5.4%).

Datin Paduka Hajah Adina turut memperkatakan mengenai cabaran yang dihadapi kaum wanita bekerja di negara ini sebelum mengakhiri pembentangannya.

Turut berkongsi maklumat mengenai wanita di negara masing-masing ialah Duta Besar Jepun, Puan Yang Terutama Noriko Iki, Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Puan Yang Terutama Marina B. Laker dan Duta Perancis ke Negara Brunei Darusalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron.

Majlis anjuran bersama Kedutaan Besar Jepun di Negara Brunei Darussalam dan Suruhanjaya Tinggi Kanada di sini itu menyaksikan Pengarah Eksekutif IQ-Quest Company yang juga Pengarah PB Engineering Sdn Bhd dan Pemilik bersama Creativo Enterprise, Dayang Fauziah binti Dato Seri Paduka Haji Talib menjadi moderator.

ARTIKEL YANG SAMA