Wanita Brunei capai kemajuan ketara

Wanita Brunei capai kemajuan ketara

pg01_150928_b

NEW YORK, 27 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan bahawa para perempuan dan wanita di Negara Brunei Darussalam mempunyai peluang yang sama rata untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, khususnya bidang-bidang yang sentiasa berkembang seperti ICT.

Dengan pendidikan yang progresif dan peluang pekerjaan yang sama rata, titah Baginda, para wanita telah pun mencapai kedudukan dalam bidang-bidang profesional termasuk perubatan, undang-undang, bisnes dan kejuruteraan.

Dalam tempoh satu dekad, penyertaan wanita dalam tenaga kerja telah meningkat daripada 59 peratus kepada lebih 70 peratus.

Oleh kerana hampir separuh daripada penduduk Negara Brunei Darussalam terdiri daripada wanita, sumbangan mereka ke arah pembangunan nasional amatlah penting.

Baginda menyatakan sedemikian semasa mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Global Mengenai Kesetaraan Gender dan Memperkasa Wanita, di Conference Room 4, Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula bertitah merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, dan Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Ban Ki-moon kerana menjunjung dan menjemput Baginda menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Baginda seterusnya bertitah menyatakan bahawa ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh kedua-dua pengerusi berkenaan penuh inspirasi dan berpandangan jauh. Baginda juga bertitah merakamkan ucapan penghargaan kepada Presiden Republik Rakyat China atas inisiatif mengadakan mesyuarat bersama dengan UN-Women.

Baginda kemudiannya bertitah bahawa mesyuarat berkenaan diadakan tepat pada masanya iaitu bersempena dengan ulang tahun ke-70 PBB dan bagi menerima pakai Agenda Pembangunan Pasca-2015.

Kepimpinan Negara China dalam menerajui isu kesetaraan gender dan memperkasa wanita adalah sangat dihargai. Walaupun setelah lebih 20 tahun, Deklarasi Beijing (Beijing Declaration) dan Wadah bagi Tindakan (Platform of Action) masih diguna pakai sebagai sumber panduan dan inspirasi, selain menjadi rangka tindakan yang progresif bagi kemajuan wanita di mana sahaja. Baginda turut menghargai sumbangan negara-negara Mexico, Denmark dan Kenya kepada isu penting tersebut.

Baginda turut melahirkan rasa gembira mengetahui pembangunan wanita telah mencapai kemajuan yang ketara.

Bagi Negara Brunei Darussalam, Baginda menitahkan pengalaman dalam isu berkenaan adalah berasaskan kepada dasar menyediakan akses universal kepada pendidikan yang telah sekian lama berjalan untuk semua. Pada tahun 1950an, di bawah kepimpinan bijaksana Ayahanda Baginda, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, pendidikan diberikan secara percuma tanpa mengira jantina.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah melahirkan rasa gembira bahawa pada tahun lepas, Forum Ekonomi Sedunia (World Economic Forum) mengenai Jurang Gender Global (Global Gender Gap) telah melaporkan Negara Brunei Darussalam berada di kedudukan ke-7 dalam pendaftaran dan kemasukan wanita ke pengajian tinggi. Dengan kepesatan globalisasi, pembelajaran sepanjang hayat telah diberikan perhatian yang serius.

Baginda seterusnya menambah bahawa wanita di Brunei mempunyai akses yang sama rata kepada kemudahan penjagaan kesihatan, yang bersifat percuma kepada semua penduduk.

Sejak dua dekad yang lalu, jangka hayat wanita telah mengalami peningkatan kepada 80 tahun. Wanita juga semakin aktif dalam bidang perniagaan melalui pelbagai skim pinjaman kredit.

Baginda juga bertitah melahirkan kegembiraan bahawa lebih separuh daripada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Brunei dimiliki oleh wanita, yang telah berdikari dalam bidang ekonomi. Baginda seterusnya bertitah bahawa Brunei juga membuat usaha-usaha untuk melindungi hak-hak wanita melalui perundangan dan pelan-pelan tindakan yang akan terus dikemas kini dari semasa ke semasa.

Di peringkat serantau, Brunei adalah sebahagian daripada Suruhanjaya ASEAN bagi Promosi dan Perlindungan Hak-hak Wanita dan Kanak-kanak.

Deklarasi ASEAN bagi Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak telah diterima pakai semasa Brunei menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 2013.

Baginda seterusnya bertitah bahawa usaha-usaha berterusan Brunei untuk memenuhi tanggungjawab-tanggungjawab antarabangsa dipamerkan melalui komitmen kepada Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs), Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) dan Persidangan Bagi Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

Baginda bertitah walaupun Brunei telah mencapai banyak kemajuan, masih ada banyak lagi yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan potensi penuh wanita dalam pembangunan negara. Oleh itu, peranan yang seimbang dan perkongsian yang dimainkan oleh lelaki dan wanita adalah mustahak.

Di akhir titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan rasa gembira untuk mengesahkan lagi komitmen Negara Brunei Darussalam dalam melaksanakan matlamat-matlamat Deklarasi Beijing dan Wadah bagi Tindakan.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; dan Wakil Tetap Negara Brunei Darussalam ke PBB, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Abdul Ghafar bin Haji Ismail.

ARTIKEL YANG SAMA