Wanita cedera parah kereta hilang kawalan

Wanita cedera parah kereta hilang kawalan

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 22 Ogos – Seorang wanita warganegara Brunei mengalami cedera parah di bahagian muka apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh tepi jalan dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 18, Kampung Bukit Luba, Jalan Medamit, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7:07 pagi itu mangsa Dayang Rasidah binti Haji Ghaffar, 28, memandu berseorangan dari arah Bandar Limbang menuju ke Brunei.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Kurong Beki berkata sebaik tiba di Kilometer 18, kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tepi jalan.

Kereta yang dipandu mangsa remuk dalam kemalangan itu.
Kereta yang dipandu mangsa remuk dalam kemalangan itu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan masih sedar berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan kemudiannya dihantar menggunakan kenderaan bomba untuk mendapat rawatan di hospital,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu seramai lapan orang anggota bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya 18 kilometer dari balai menggunakan sebuah jentera bomba sebaik menerima panggilan jam 7:07 pagi.

“Anggota bomba tiba di lokasi jam 7:31 pagi bersama orang awam membantu mengeluarkan mangsa dan menghantarnya ke hospital,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA