Wanita Cina terima hidayah

Wanita Cina terima hidayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Julai – Seorang wanita berbangsa Cina, telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Dewan Serba guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait di sini, hari ini.

Wanita tersebut, Dayang Tan@Tan Yin Jiun, 24, sebelum ini penganut ugama Buddha telah dengan rela hatinya memeluk ugama Islam, dan memilih nama Islamnya, Dayang Nur Sakinah Azeerah binti Abdullah Tan.

Majlis pengislamannya telah disaksikan Penolong Ketua Bahagian Dakwah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan, yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli Doa Selamat yang dibacakan oleh Awang Nur Aisamuddin bin Muhammad Hanafi.

Seramai 72 orang saudara baru setakat ini telah dicatatkan oleh Bahagian Dakwah Daerah Belait, bagi statistik bermula bulan Januari sehingga penghujung bulan Jun 2016, manakala tahun lepas Daerah Belait telah mencatatkan keramaian saudara baru sejumlah 96 orang.

Daripada jumlah itu, bangsa Iban seramai 26 orang, Dusun (20), Murut (1), Cina (13), Filipina (7), dan lain-lain seramai lima orang.

Dayang Tan Yin Jun ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Bahagian Dakwah Daerah Belait kelmarin.
Dayang Tan Yin Jun ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah di Bahagian Dakwah Daerah Belait kelmarin.

Menurut Hajah Salimah, setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) iaitu antaranya Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, kemudian diteruskan dengan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.

Kemudian diikuti lagi dengan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 yang diadakan di PDI Kampung Pulaie (merupakan kursus tinggal sementara di asrama) dan Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 2 juga berasrama diadakan di PDI Kampung Pulaie.

Sehubungan itu, Bahagian Dakwah Daerah Belait menyeru kepada saudara-saudara baru untuk sentiasa menyertai setiap aktiviti atau kursus yang dianjurkan oleh bahagian dakwah, dengan hasrat untuk meningkatkan dan menambahkan lagi ilmu serta pengetahuan dan kefahaman mereka sebagai saudara-saudara baru di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA