Wanita diugut bunuh di Tamu Limbang

Wanita diugut bunuh di Tamu Limbang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 30 Julai – Seorang wanita mengalami detik mencemaskan apabila diugut bunuh dan cuba dicederakan seorang lelaki yang kemudiannya melarikan wang RM100 miliknya dalam kejadian ragut di hadapan Tamu Limbang, pagi kelmarin.

Mangsa, 25, dari Kampung Lubuk Rangas dihampiri suspek dari belakang dan kemudian memegang tangannya untuk meminta duit dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu.

“Ketika kejadian, saya hendak menyeberang jalan menuju ke Limbang Plaza. Tiba-tiba seorang lelaki telah menarik tangan saya dengan kasar untuk meminta duit sambil mengugut untuk membunuh dan mencederakan saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mangsa yang juga seorang peniaga berkata pada mulanya dia hanya berniat untuk memberikan suspek wang sebanyak RM50. Bagaimanapun suspek katanya tetap berkeras untuk meminta wang sebanyak RM100.

“Saya ada berunding dengan suspek untuk memberikannya wang RM50. Suspek tetap berkeras dan terus mengugut saya, menyebabkan saya menyerahkan wang RM100 kerana bimbang keselamatan saya ketika itu,” katanya lagi.

Jelas mangsa lagi, sebaik menyerahkan wang terbabit, suspek segera melarikan diri menuju ke kawasan dalam tamu berkenaan, manakala mangsa melarikan diri menuju Limbang Plaza.

Selepas kejadian itu, mangsa segera menghubungi ahli keluarganya di kampung dan mereka menasihati mangsa untuk membuat laporan polis.

Satu laporan polis dibuat mangsa sejurus selepas kejadian itu sekitar jam 11.42 pagi.

Mangsa juga menjelaskan suspek berkulit hitam, kurus dan tinggi.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA