Wanita hidap Zika lahirkan anak sihat

Wanita hidap Zika lahirkan anak sihat

MEXICO CITY, 21 Feb (AFP) – Seorang wanita yang disahkan menghidap virus Zika di negeri selatan Mexico, Chiapas melahirkan anak damit yang sihat secara klinikal, menurut kementerian kesihatan Mexico baru-baru ini.

Wanita itu yang berasal dari bandar Pijijiapan, melahirkan anak damit lelaki (2.8 kilo) di hospital bandar Tuxtla Gutierrez.

Selepas menjalani penilaian, pusat pediatrik hospital itu “mengesahkan anak damit itu sihat secara klinikal,” menurut kementerian kesihatan itu dalam satu keterangan.

Wanita itu merupakan salah seorang daripada enam yang diketahui menghidap Zika ketika mengandung.

Zika, yang merupakan virus bawaan nyamuk, telah dikaitkan dengan mikrosefali, satu keadaan kelahiran cacat di mana anak damit yang lahir mempunyai kepala yang kecil. Setakat ini tiada penawar bagi mikrosefali dan tiada vaksin terhadap Zika.

Seorang wanita yang menghidap virus Zika melahirkan anak yang secara klinikal sihat tanpa tanda-tanda seperti mikrosefali. – Reuters
Seorang wanita yang menghidap virus Zika melahirkan anak yang secara klinikal sihat tanpa tanda-tanda seperti mikrosefali. – Reuters

Lima wanita yang lainnya “dalam keadaan yang sihat, mereka menerima khidmat rawatan khas yang berterusan dan sedang menjalani ujian-ujian ultra bunyi secara berkala,” menurut kenyataan itu.

Dua daripada wanita itu kini melangkaui tempoh 28 minggu menggandung, dan beberapa ujian menunjukkan tiada tanda mereka membawa janin dengan mikrosefali. Tiga lainnya belum mencapai tanda aras 28 minggu, menurut bacaan keterangan itu.

Dalam 80 kes Zika yang didaftarkan di Mexico, 45 daripadanya di negeri selatan Chiapas, termasuk tiga daripadanya wanita mengandung.

Secara purata Mexico, penduduk 122 juta, mempunyai 600 kes mikrosefali setiap tahun. Angka itu tidak berubah sejak penularan virus Zika itu di Amerika Latin, menurut pegawai yang bertanggungjawab mengenai pemantauan Zika.

Brazil minggu ini menyatakan bahawa ia telah mendaftar sebanyak 508 kes mikrosefali sejak Oktober, peningkatan yang begitu tinggi berbanding purata tahunan 150.