Wanita Iraq b...

Wanita Iraq berbasikal untuk keamanan

BAGHDAD – Nama beliau adalah Marina Jaber dan beliau juga dikenali sebagai ‘gadis penunggang basikal’, seorang artis muda daripada Baghdad yang memberi inspirasi kepada wanita di Iraq untuk melakukan senaman melalui keyuhan dan menyatakan mereka juga ada hak untuk melakukan sesuatu.

Dalam masyarakat yang konservatif di Iraq, wanita muda itu cuba melakukan perkara yang jarang dilakukan oleh kaum mereka dengan menunggang basikalnya yang berwarna merah di sekitar jalan-jalan ibu negara, dan mengenakan rambut terurai yang ditiup angin.

Ia pada mulanya adalah sebagai projek seni dan kini telah menjadi ‘meme’ di media sosial dan seterusnya menjadi satu gerakan sivil masyarakat. Sekumpulan wanita itu kini kerap melakukan perkumpulan dan mengadakan acara berbasikal di Baghdad dan menjadi salah satu aktiviti di bandar itu.

“Ibu dan nenek saya pada dahulunya menunggang basikal. Ia digunakan sebagai satu kenderaan asasi yang normal,” Jaber memberitahu kepada AFP.Beliau berkata bahawa beliau pernah dipersoalkan kenapa dia merasa begitu bangga menunggang basikal semasa lawatannya ke London pada tahun lepas.

“Ia hanyalah sebuah basikal. Ia satu perkara yang mudah. ​​Jadi ia harus menjadi normal,” kata pemuda yang berusia 25 tahun itu.

Marina Jaber (tengah kiri) bersama yang lainnya menunggang basikal untuk keamanan dalam satu acara maraton di Baghdad. - AFP
Marina Jaber (tengah kiri) bersama yang lainnya menunggang basikal untuk keamanan dalam satu acara maraton di Baghdad. – AFP
Penunggang warga Iraq, Durra Ahmed ditemu bual oleh media semasa menyertai Marathon Keamanan Baghdad kali kedua. - AFP
Penunggang warga Iraq, Durra Ahmed ditemu bual oleh media semasa menyertai Marathon Keamanan Baghdad kali kedua. – AFP

“Adakah masyarakat tidak membolehkan kita untuk melakukan perkara-perkara tertentu atau adakah ia mula untuk tidak menerima perkara-perkara tertentu kerana kita berhenti melakukannya? itu adalah satu persoalan yang penting yang telah saya fikirkan untuk sekian lamanya.”

Untuk mencari jawapan, Jaber mula berbasikal di kawasan kejiranan beliau dan membuat satu projek bagi isntitut seni kontemporari yang dipanggil sebagai ‘Tarkib’ – sebuah perkataan Arab yang bermakna pemasangan dan himpunan.

Dari satu gambar yang menunjukkan beliau (Jaber) sedang berbasikal dan berada di sebelahnya seorang lelaki tua yang juga menunggang basikalnya sendiri telah merenung Jaber dengan pandangan sinis dan tidak percaya akan keadaan itu yang telah menjadi sensasi di media sosial di Iraq pada tahun lepas.

“Melalui orang tua itu, saya telah menemui jawapan. Selama lebih daripada lima minit, saya menunggang basikal di sebelahnya, beliau masih merenung ke arah saya. Dia seolah-olah tidak menyukainya,” kata Jaber.

“Kemudian beliau berhenti merenung dan berlalu pergi. Semua warga di kawasan itu perlu membiasakan diri dengan keadaan ini, mereka berhenti merenung saya…saya faham yang saya berada dalam kelompok masyarakat am. Jika saya mahukan sesuatu, saya perlu mula melakukannya.”

Jaber telah menjadi inspirasi secara serta-merta kepada kebanyakan gadis-gadis dan wanita di seluruh negara ini dengan menjalani kehidupan yang dipilih oleh mereka dan tidak tunduk kepada sekatan sosial baru-baru ini, suku kaum atau agama. ‘Hashtags’ mula tersebar di Internet dan Jaber terharu dengan sambutan yang diterimanya.

“Saya menerima banyak pesanan mesej…kebanyakannya dari kanak-kanak perempuan. Mungkin mereka perlukan seseorang untuk mempertahankan hak-hak mereka,” katanya.

Basikal merah beliau telah menjadi tumpuan dalam sebuah pameran di Baghdad tahun lepas dan Jaber telah menyertai sejarah berbasikal global sebagai satu simbol kebebasan wanita. Di England, seorang pejuang hak-hak wanita, Alice Hawkins pernah terkenal dengan menunggang basikal di sekitar jalan-jalan di Leicester untuk mempromosikan dan memperjuangkan hak-hak wanita.

Lebih daripada satu abad kemudian, simbol ini masih kuat di Timur Tengah, seperti yang ditayangkan dalam sebuah filem Arab iaitu ‘Wadjda’ pada tahun 2012 yang mana menceritakan mengenai seorang budak perempuan berusia 11 tahun dari Riyadh yang telah ditentang oleh masyarakat dan ibunya akhirnya telah membelikan sebuah basikal impiannya yang berwarna hijau kerana beliau tidak dapat menggunakan wang hadiah daripada memenangi pertandingan membaca Al-Quran itu untuk dibelikan basikal.

Cerita Jaber itu juga mendapat perhatian daripada Bushra al-Fusail, seorang jurugambar dari Yaman yang memulakan kumpulan berbasikal wanita pertama negara itu pada tahun 2015 bagi menegakkan hak-hak wanita dan menentang peperangan.

Penunggang basikal terdiri daripada warga Iraq berkumpul semasa acara Marathon Keamanan Baghdad kali kedua yang diadakan di ibu negara Iraq. - AFP
Penunggang basikal terdiri daripada warga Iraq berkumpul semasa acara Marathon Keamanan Baghdad kali kedua yang diadakan di ibu negara Iraq. – AFP
Durra Ahmed (dua kanan) berkumpul bersama penunggang yang lain semasa Marathon Keamanan Baghdad kali kedua. - AFP
Durra Ahmed (dua kanan) berkumpul bersama penunggang yang lain semasa Marathon Keamanan Baghdad kali kedua. – AFP

Di Iraq, wanita dari seluruh negara mula menghantar gambar-gambar berbasikal mereka dan berpuluh-puluh orang telah menyertai kumpulan berbasikal di jalan-jalan di Baghdad, dimana lalu lintas ditutup dan kumpulan penunggang basikal telah diiringi oleh anggota polis.

“Ia bukanlah satu kesalahan undang-undang bagi seorang wanita berbasikal di Iraq tetapi oleh kerana peperangan, kami sebagai rakyat Iraq telah menghentikan perkara-perkara yang pernah kami biasa lakukan dahulu… kami terlalu sibuk memikirkan kematian,” kata Jaber.

Jumana Mumtaz, seorang wartawan penyiaran dari bandar utara Iraq, Mosul, telah memperlihatkan gambar beliau yang menunggang basikal semasa peperangan berlaku pada bulan Disember yang lalu bagi menyokong inisiatif Jaber.

“Ia adalah satu cara untuk mencabar ISIS dan anggota pelampau,” katanya, merujuk kepada kumpulan berani mati IS yang masih mengawal separuh daripada bandar itu walaupun adanya serangan daripada kerajaan selama tiga bulan.

“Selain itu, ramai daripada penduduk di Iraq, bukan sahaja ISIS, berfikir bahawa wanita perlulah tidak melalukan apa yang mereka mahukan dan menganggap perbuatan kami memalukan…Marina mendapat banyak komen yang sangat agresif dan begitu juga dengan saya,” kata Mumtaz.

Kebanyakan komen yang diterima adalah dari kaum lelaki, tetapi mereka juga yang mengalu-alukan apabila Jaber mengadakan aktiviti berbasikal itu.

“Ia juga suatu kebebasan buat kaum lelaki. Kesemuanya kelihatan begitu gembira, bandar kelihatan lebih ceria dengan suasana ini. Rasanya seperti kehidupan normal yang kami mahukan,” kata Mustafa Ahmed, seorang pegawai tentera muda, pada perhimpunan baru-baru ini.

“Terdapat beberapa reaksi negatif pada mulanya tetapi komen yang saya banyak terima pada masa ini adalah ‘Aah, ini adalah Baghdad yang kami kenali’,” kata Jaber, yang telah menerima beberapa tawaran untuk membantu mengedarkan basikal percuma kepada wanita-wanita Iraq.

“Sekarang saya mahu menyokong kanak-kanak perempuan untuk berhenti merasa takut. Kita boleh mengubah realiti.” – AFP