Wanita kecam doktor pentingkan diri

Wanita kecam doktor pentingkan diri

SYDNEY, 4 Ogos – Seorang wanita yang melahirkan anak pada usia 62 tahun setelah menerima rawatan IVF mencetuskan satu perdebatan etika pada hari ini di Australia dengan seorang ketua perubatan mengecam keputusan yang “salah dan mementingkan diri itu.”

Wanita yang tidak dikenalpasti itu, dengan pasangannya berusia 78 tahun, melahirkan seorang anak perempuan menerusi pembedahan caesarean di sebuah hospital swasta di Melbourne pada Isnin, kata laporan, menjadikannya salah seorang ibu baru paling tua di Australia.

Michael Gannon, pakar obstetrik dan ginekologi yang menjadi presiden Persatuan Perubatan Australia, menggunakan Twitter untuk mengecam ibu bapa berkenaan.

“Sesiapa yang memikirkan masa depan anak remaja? Mementingkan diri, salah,” tulisnya di Twitter, menambah terdapatnya “keutamaan yang lebih penting dalam kesihatan wanita.’

“Ia adalah isu hak. Fikirkan hak kanak-kanak, masyarakat, pembayar cukai. Gila. Tidak patut mempunyai anak pada usia 60-an,” katanya.

Beliau memberitahu wartawan timbulnya isu keselamatan dengan wanita lebih tua yang mengandung menghadapi risiko lebih tinggi menghidapi diabetes, masalah tekanan, serangan jantung, strok dan darah beku.

Channel Seven melaporkan wanita tersebut dan pasangannya mengandung menerusi persenyawaan vitro di luar negara, menggunakan embrio penderma.

Tidak adanya sekatan undang-undang untuk menghalang wanita yang lebih tua daripada menjalani rawatan IVF di Australia, walaupun ramai pembekal tidak akan merawat sesiapa yang melebihi umur 50 tahun disebabkan risiko yang terbabit.

Profesor Gab Kovacs, seorang pakar ginekologi Melbourne yang diiktiraf sebagai pelopor dalam perkembangan dan kejayaan IVF, mengkritik kehamilan wanita itu sebagai satu rawatan yang tidak wajar.

“Mengandung pada usia 62 tahun adalah merbahaya kepada ibu dan anak,” beritahunya kepada akhbar Melbourne Age.

“Beliau mungkin mengalami tekanan darah tinggi, yang lebih lazim berlaku pada umur lebih tua. Dia mungkin berdarah di sebalik plasenta, yang lebih lazim pada umur lebih tua. “Juga, pada masa anak itu berusia 21 tahun, ibu berkenaan akan berusia 84 tahun.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA