Wanita kecoh di masjid

Wanita kecoh di masjid

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 7 Mac – Satu kejadian semasa jemaah hendak menunaikan solat Jumaat minggu lalu di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait telah tersebar melalui media sosial baru-baru ini.

Peristiwa viral itu mengisahkan seorang wanita meluru ke arah imam sebaik sahaja imam selesai menyampaikan khutbah dan memeluk kaki beliau sambil berteriak dan menangis memohon kemaafan.

Wartawan Media Permata mendapatkan pengesahan kejadian itu daripada imam terbabit, Haji Mohd Alias bin Bakar yang mengetuai solat fardu Jumaat pada hari tersebut.

Menurutnya, beliau baru sahaja selesai menyampaikan khutbah apabila seorang wanita dalam lingkungan usia 20an meluru ke arah beliau sehingga membuatkan suasana sedikit kecoh dan terpaksa dipimpin oleh beliau dan beberapa orang jemaah lain masuk ke pejabat imam berhampiran dan melewatkan sedikit solat fardu Jumaat.

“Sewaktu menuruni mimbar, tiba-tiba seorang wanita menuju ke arah saya dan memeluk kaki saya sambil menangis dan mengatakan ‘ampunkan aku, maafkan aku, aku berdosa dan aku ingin bertaubat’ berulang-ulang kali,” kata Haji Mohd Alias.

“Saya terkejut dan panik lalu menenteramkan beliau dan menasihatinya, namun dia tidak melepaskan saya. Apabila melihat perkara itu, jemaah berdekatan pun terkejut dan cuba membantu meleraikan keadaan itu,” jelas imam itu lagi.

Mereka cuba memujuknya dan membawanya masuk ke pejabat imam. Solat Jumaat diteruskan dengan salah seorang imam lain mengimamkannya, tambahnya.

Sejurus selesai solat Jumaat, Haji Mohd Alias mengatakan seorang lelaki datang ke pejabat imam dan memperkenalkan dirinya sebagai suami wanita tersebut dan tidak lama kemudian, pihak polis juga tiba di sana untuk menanyakan beberapa soalan kepada mereka.

Pasangan suami isteri itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Belait untuk memberikan keterangan. Tiada sebarang dakwaan dibuat ketika itu.

ARTIKEL YANG SAMA