Wanita kena dakwa cuba rekrut ahli IS

Wanita kena dakwa cuba rekrut ahli IS

LONDON, 3 Julai (AFP) – Polis British semalam mendakwa seorang wanita berusia 26 tahun kerana mengapi-apikan pengganasan dan menggalakkan penyertaan dalam kumpulan Negara Islam (IS) dengan menggunakan akaun Twitter, selain memberkas seorang perempuan berusia 15 tahun kerana disyaki bersedia melakukan serangan.

Pihak berkuasa terbabit turut meneruskan penyiasatan berhubung kehilangan sekeluarga seramai 12 orang, termasuk tiga generasi, yang dipercayai membuat perjalanan ke Syria.

Wanita berusia 26 tahun tersebut ditahan di Lapangan Terbang Heathrow selepas pulang dari Turki.

Dakwaan tersebut menyatakan bahawa di antara 30 September dan 20 Oktober tahun lepas beliau membuat dua tweet yang bertujuan “secara langsung menggalakkan orang ramai” untuk bersedia atau melakukan tindakan pengganasan.

Kajian oleh Institut Dialog Strategik yang berpangkalan di London awal tahun ini berkata anggaran 550 wanita barat membuat perjalanan ke Iraq dan Syria.