Wanita Korea dominasi golf dunia

Wanita Korea dominasi golf dunia

SEOUL, 11 Nov (AFP) – Penguasaan Korea Selatan dalam golf wanita dunia setentunya tidak boleh dinafikan lagi malah kini semakin mantap – dan jika segala-galanya berjalan lancar, dominasi mereka pastinya bukan calang-calang lagi untuk diatasi dengan mudah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak sudah kejayaan pemain golf wanita dari Korea Selatan yang menyaksikan mereka dengan bangga, sambil menerima tepukan gemuruh, mengangkat trofi demi trofi, termasuk lima dari 10 kejuaraan yang lalu.

Di antara 10 pemain terbaik yang ada sekarang, enam orang adalah dari Korea Selatan, termasuk pemain nombor dua dunia Park In-Bee. Pemain nombor satu Lydia Ko dari New Zealand, yang dilahirkan di Korea Selatan. Sembilan dari 20 pemain teratas adalah dari Korea Selatan dan dari 30 acara LPGA yang disertai setakat tahun ini, pemain golf Korea telah memenangi 14 – dua darinya beraksi dalam musim rookie.

Sebenarnya banyak faktor yang menjadi pendorong kepada kejayaan itu termasuk gabungan kuasa budaya, etika tugasan yang penuh disiplin, sokongan ibu bapa dan sistem pendidikan yang turut menjurus kepada pemburuan kesempurnaan dalam sukan golf.

1 GOLF WANITA KOREA AFP

Naib Pengerusi Eksekutif LPGA Korea Selatan, Kang Choon-Ja percaya jawapan sebenar terletak dalam jelajah domestik berkualiti tinggi, yang membenarkan pemain memulakan kerjaya antarabangsa mereka tanpa sekatan.

Kebangkitan Korea Selatan sebagai kuasa golf bermula ekoran kejayaan Pak Se-Ri dalam Terbuka AS pada 1998 – ketika itu berusia 20 tahun dan dalam musim rookie LPGA.

Dia adalah warga Korea yang pertama – dan Asia pertama – memenangi pertandingan wanita tertua, dan menjadi tumpuan bagi ledakan sukan golf Korea Selatan yang semakin mantap.

Pak memenangi Rookie Tahunan pada 1998, dan sejak itu tujuh wanita Korea Selatan yang lain mengikut jejak langkahnya. Jumlah yang sama telah memenangi gelaran Terbuka AS, termasuk kemenangan Chun In-Gee tahun ini.