Wanita lebih berisiko hidap diabetes

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Pada masa ini, seorang dalam 10 orang wanita menghidap diabetes iaitu kira-kira 199 juta orang wanita di seluruh dunia dan menjelang 2040, dianggarkan 313 juta orang wanita akan menghidap diabetes.

Berdasarkan data tinjauan terkini Kementerian Kesihatan dari tahun 2016, menunjukkan wanita di Brunei Darussalam berisiko lebih tinggi menghidap diabetes daripada lelaki dengan 10.3 peratus dalam kalangan wanita berbanding dengan 9.1 peratus lelaki.

Tambahan pula, dua dari setiap lima wanita yang menghidap diabetes adalah pada usia reproduktif.

Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari Diabetes Sedunia 2017 yang disambut setiap 14 November.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, wanita yang telah menghidap diabetes mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi berkaitan kehamilan seperti mengalami keguguran, preeclampsia (satu keadaan yang mana tekanan darah naik dan mengakibatkan kerosakan organ), kematian anak damit ketika lahir, anak damit lahir dengan kecacatan.

Ketika kehamilan, wanita-wanita berkenaan mungkin mengalami penyakit mata diabetes yang teruk dan perkembangan cepat penyakit buah pinggang.

Sementara itu, bagi diabetes yang berlaku ketika kehamilan pada wanita yang bukan penghidap diabetes (yang diistilahkan diabetes kehamilan) wanita-wanita berkenaan dinasihatkan menjalani pemeriksaan diabetes setiap tahun selepas bersalin dan untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat meskipun diabetes sembuh selepas melahirkan, ini akan membantu mengurangkan risiko mengalami diabetes jenis 2.

Selain itu, kira-kira satu dalam tujuh kelahiran terjejas oleh diabetes kehamilan dan mengalami komplikasi seperti anak damit yang lebih besar daripada biasa (macrosomia) yang mengakibatkan risiko trauma kelahiran, anak damit baru lahir mengalami tekanan gula dalam darah yang rendah (neonatal hyopglycaemia), risiko kematian ketika kelahiran dan risiko anak damit menjadi obes dan mengalami diabetes jenis 2 apabila dewasa.

Yang Berhormat Dato menekankan, mengetahui banyaknya impak diabetes kehamilan, adalah penting untuk mengenal pasti wanita berisiko mengalami keadaan itu dan faktor-faktor risiko.

Ini termasuklah obesiti dengan indeks jisim badan lebih daripada 30kg/m2, anak damit besar sebelumnya mempunyai berat 4.5kg atau lebih, diabetes kehamilan sebelumnya, sejarah keluarga diabetes dan sindrom ovari Polycystic (satu keadaan yang menjejaskan hormon wanita yang mengakibatkan kitaran haid tidak teratur dan masalah kesuburan).

Untuk membantu menangani ancaman diabetes, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperingati Hari Diabetes Sedunia pada tahun ini de-ngan tema ‘Wanita dan Diabetes – Hak Kita bagi Kehidupan Masa Depan Yang Sihat”.

Yang Berhormat Dato berkata, tema ini menggalakkan kemudahan saksama bagi semua wanita yang berisiko atau menjalani kehidupan dengan diabetes, untuk mendapatkan ubat, teknologi, pendidikan pengurusan sendiri dan maklumat yang membolehkan mereka mencapai hasil diabetes yang optimum dan meraih lebih banyak fahaman mencegah diabetes jenis 2.

“Alhamdulillah, di Brunei Darussalam, kita sangat bernasib baik bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan kemudahan saksama bagi mendapatkan sebarang perkhidmatan perubatan bagi semua warganegara tanpa mengira jantina,” ujarnya.