Wanita mati dibunuh muncul semula

Wanita mati dibunuh muncul semula

BRAUNSCHWEIG, Jerman (Agensi) – Seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa pembunuhan 31 tahun lalu ‘muncul’ semula dalam keadaan selamat baru-baru ini.

Wanita yang dikenali sebagai Petra Pazsitka itu berumur 24 tahun ketika kali terakhir dilihat pada 1984 sebelum seorang lelaki ditangkap dan mengaku membunuhnya.

Dia yang kini berusia 55 tahun dan hidup menggunakan nama Schneider di bandar Dusseldorf berjaya dikesan selepas membuat laporan polis mengenai rumahnya yang dipecah masuk.

“Polis yang menjalankan siasatan mendapati dia adalah wanita yang hilang 31 tahun lalu dan didakwa telah meninggal dunia.

“Pazsitka memberitahu, dia tinggal di bandar lain menggunakan nama samaran dan tidak pernah memiliki kad pengenalan baharu,” ujar seorang jurucakap polis.

Dalam kejadian pada 26 Julai 1984, Pazsitka yang menuntut dalam jurusan Sains Komputer di Braunschweig keluar berjumpa doktor gigi dan kemudian menaiki bas untuk ke rumah ibu bapanya di bandar Wolfsburg sebelum dilaporkan hilang.

Sementara itu, seorang tukang kayu, Gunter K., 19, yang ditahan kerana membunuh seorang remaja pada Mac 1985 turut membuat pengakuan membunuh Pazsitka pada 1987 menyebabkan wanita itu diisytiharkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa.