Wanita maut dalam kemalangan kereta Brunei dan Malaysia

Wanita maut dalam kemalangan kereta Brunei dan Malaysia

Oleh Siti Hajar

 

BANDAR SERI BEGAWA, 24 Dis – Seorang wanita Sarawak berusia 50 tahun yang berkahwin dengan warga Brunei telah meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Sarawak, hari ini.

Seorang pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat di Tatau, Sarawak apabila dihubungi wartawan tempatan, berkata bahawa kejadian itu melibatkan tiga buah kereta, salah sebuah mempunyai plat lesen Brunei dan dua buah berpendaftaran Malaysia.

Berdasarkan laporan saksi, pegawai itu berkata, wanita berkenaan terhumban ke luar kereta akibat nahas itu.

Kejadian berlaku di Jalan Tatau-Selangau, kata pegawai itu, yang dianggap sebagai ‘kawasan mudah terdedah kemalangan’ dengan pasukan kecemasan terpaksa menangani satu kejadian kelmarin dan satu lagi awal minggu ini.

Pemandu kereta SUV berpendaftaran Brunei itu merupakan anak lelaki wanita berkenaan yang berusia 26 tahun. Dua orang anak lain keluarga berkenaan, masing-masing berusia 13 dan enam tahun, yang juga berada di dalam kereta itu mengalami kecederaan ringan.

Penumpang-penumpang dua buah kereta lain, sebuah keluarga tiga orang dan sebuah keluarga empat orang, juga mengalami kecederaan ringan.

Menurut post Facebook Pusat Operasi Sarawak, pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11:55 pagi dan tiba di tempat kejadian pada 12:45 tengah hari. Stesen terdekat dengan kejadian itu adalah 43 kilometer jaraknya.

ARTIKEL YANG SAMA