Wanita maut di lapangan terbang

Wanita maut di lapangan terbang

ISTANBUL, 23 Dis (AFP) – Seorang tukang cuci di lapangan terbang terbunuh dan seorang lagi cedera awal hari ini selepas letupan dari sebelah sisi pesawat yang tidak diketahui asal-usulnya di lapangan terbang antarabangsa kedua Istanbul, dengan Turki dalam keadaan berjaga-jaga bagi sebarang serangan.

Wanita berkenaan, Zehra Yamac, 30, meninggal dunia akibat pendarahan di kepalanya beberapa jam selepas letupan awal pagi di tarmak lapangan terbang Sabiha Gokcen di sebelah Asia bandar terbesar Turki, lapor agensi berita Anatolia milik kerajaan.

Letupan itu berlaku tidak jauh dari bangunan terminal tempat pesawat-pesawat terletak bagi ketibaan dan perlepasan penumpang.

Pengangkutan persendirian Turki, Pegasus Airlines mengatakan dalam satu kenyataan bahawa letupan itu berlaku berhampiran salah sebuah pesawatnya di tarmak ketika dua tukang cuci itu berada di kawasan itu.

“Tidak ada penumpang sama ada di dalam pesawat mahupun di tangga kapal. Lapangan terbang Sabiha Gokcen sedang meneruskan operasi normalnya,” kata Pegasus.

Mangsa yang cedera juga seorang tukang cuci, cedera di kaki. Yamac dimasukkan ke hospital namun meninggal dunia selepas itu walaupun kakitangan perubatan sedaya upaya menyelamatkannya, kata Anatolia.

Pihak lapangan terbang dalam satu kenyataan berkata dalam akaun rasmi Twitternya bahawa ‘penerbangan dari terminal kami meneruskan perjalanan seperti yang dijadualkan’.

Lapangan terbang Sabiha Gokcen, yang dinamakan sempena juruterbang pejuang wanita pertama Turki, adalah lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul selepas Lapangan Terbang Ataturk yang besar di sebelah Eropah bandar itu.

Sabiha Gokcen menempatkan kedua-dua penerbangan domestik dan destinasi antarabangsa dengan penerbangan tambang rendah namun juga dari pengangkut penerbangan Turki, Turkish Airlines.

Pada tahun ini, setakat November, ia telah menghoskan lebih 17 juta penumpang domestik dan hampir sembilan juta penumpang antarabangsa, menurut jumlah syarikat itu.

Ia kini dimiliki sepenuhnya oleh Malaysian Airports Holding yang baru saja menyelesaikan pengambilalihan saham selebihnya di lapangan terbang tahun ini.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Turki dan rakan sejawatan kami untuk memudahkan penyiasatan, dan kami menunggu laporan rasmi mereka ke atasnya,” kata pengarah eksekutif Sabiha Gokcen, Dato’ Azmi Murad dalam satu kenyataan.

“Kerajaan Turki telah mempertingkatkan keselamatan di sekitar lapangan terbang, yang termasuk pengawasan helikopter,” tambahnya.

Menurut Azmi, lapangan terbang menyambung semula ‘operasi penerbangan normal’ sekitar dua jam selepas letupan itu.

Agensi berita Dogan mengatakan tiga pesawat yang jauhnya kira-kira 350 meter dari tapak letupan turut mengalami kerosakan.

ARTIKEL YANG SAMA