Wanita maut dipijak gajah, anak cedera parah

Wanita maut dipijak gajah, anak cedera parah

BANGKOK, 12 Jan (AFP) – Seekor gajah liar memijak seorang penoreh getah hingga mati dan mengakibatkan anak lelakinya berusia dua tahun dalam keadaan cedera parah, menurut polis Thailand hari ini, serangan maut kedua di kawasan itu dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan.

Wanita berusia 34 tahun itu ditemui awal pagi semalam di sebatang jalan raya berhampiran ladang getah di timur Thailand.

Mayatnya ditemui bersebelahan motosikalnya dan anaknya yang dalam keadaan cedera, menurut polis.

“Dia maut serta-merta di tempat kejadian, anak lelakinya mengalami patah kaki dan kini dirawat di hospital,” Leftenan Polis Pramote Kongnantha memberitahu AFP.

Pegawai itu berkata gajah itu dipercayai cuba melepaskan diri ke taman negara berhampiran selepas kejadian itu.

Penoreh getah bekerja awal pagi kerap di kawasan yang berhampiran hutan, tempat tinggal gajah dan binatang liar yang lain.

Seorang pegawai taman di Khao Soi Dao, salah sebuah dari beberapa kawasan dilindungi di wilayah bersempadan Kemboja berkata tidak jelas sama ada gajah itu adalah gajah sama yang telah membunuh dua orang lelaki Thai di ladang getah di wilayah itu Oktober lalu.

Penyokong pemuliharaan menganggarkan Thailand dihuni oleh kira-kira 2,500 ekor gajah liar.

Tetapi bilangan gajah berkurangan dalam tempoh abad lalu di tengah pembangunan pesat, pemusnahan habitat dan keinginan pada gading gajah yang digunakan untuk membuat ubat dan perhiasan.

Gajah liar dan gajah jinak yang mana terdapat kira-kira 4,000 diketahui telah menyerang orang yang melintas dan menterbalikkan kereta, terutamanya ketika musim mengawan.

Ogos lalu seekor gajah di utara Thailand telah membunuh penjaganya warga Thailand atau gembala gajah’ sebelum meluru ke hutan dengan tiga pelancong warga China masih berada di belakangnya. Para pelancong itu terselamat dalam kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA