Wanita maut ditembak Polis Baltimore

Wanita maut ditembak Polis Baltimore

RANDALLSTOWN, 2 Ogos – Seorang wanita yang mengacukan senjata ke arah polis yang menyerahkan waran tangkap di pangsapurinya, ditembak mati selepas mengugut akan menembak seorang daripada pegawai berkenaan.

Jabatan Polis Baltimore menyatakan budak lelaki berusia lima tahun yang berada dalam pangsapuri itu bersama Korryn Gaines, 23, ditembak di kaki dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Polis tidak dapat memastikan dia ditembak oleh wanita itu atau pegawai polis. Tiga anggota polis pergi ke pangsapuri Gaines di Randallstown kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan untuk menyerahkan waran tangkap kepadanya dan seorang lelaki.

Gaines dikehendaki kerana gagal hadir di mahkamah atas kesalahan trafik pada Mac lalu.

Seorang pegawai mendapatkan kunci daripada tuan rumah dan membuka pangsapuri selepas tiada siapa membuka pintu.

Pegawai terlihat Gaines duduk di atas lantai, mengacukan senjata panjang ke arah polis. Polis berundur dan seorang lelaki lari dari pangsapuri itu dengan bayi lelaki berusia setahun. Beliau berjaya ditangkap.

Polis cuba berunding dengan Gaines yang mengacukan senjata ke arah pegawai beberapa kali. Menurut penyiasat, kira-kira jam 3.00 petang waktu tempatan, Gaines mengacukan senjata terus kepada pegawai dan berkata: “Jika tidak tinggalkan tempat ini, saya akan bunuh kamu.”

Ketika itu, pegawai melepaskan tembakan, dan Gaines turut melepaskan dua das tembakan. Beliau ditembak beberapa kali dan diisytiharkan mati di tempat kejadian. – AP