Wanita maut setelah terjun dari kereta

Wanita maut setelah terjun dari kereta

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) – Seorang wanita maut selepas bertindak terjun dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 6, Jalan Tambunan-Kaingaran pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata Sabinah Basilan, 60, dari Kampung Sunsuron dipercayai berbuat demikian kerana panik apabila kereta yang dinaikinya bersama lima penumpang lain terhenti di laluan curam akibat masalah enjin dan menyebabkan kereta berkenaan terundur menuruni bukit.

“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang telah membuka pintu kereta dan terjun untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lima yang lain itu termasuk pemandu kereta tersebut selamat.

Mereka yang terselamat dalam kejadian 10.45 pagi itu dikenali sebagai Yalina Giasan, 57, Pelina Giasan, 49, Hedwig Zosimus, 27, Milin Giasan, 67, serta Hedwig Francis, 38.

Mereka dilapor dalam perjalanan menghala ke Jalan Kaingaran dari Kampung Sunsuron untuk ke kebun Yalina bagi mengutip halia.

ARTIKEL YANG SAMA