Wanita Mesir bina perniagaan dalam penjara

Wanita Mesir bina perniagaan dalam penjara

QALUBIYA – “16 tahun yang lalu, ketidakmampuan membayar hutang telah menyebabkan saya dipenjara, tetapi ini tidak akan mematahkan semangat saya dan saya telah berjaya memulakan satu perniagaan di dalam penjara dengan bantuan pihak berkuasa penjara,” kata Fatma Ahmed, seorang wanita Mesir berusia lingkungan 50-an, ketika beliau mengalu-alukan para pelawat di sebuah pameran yang mempamerkan barangan kraf tangan buatan sendiri di dalam penjara.s

Pada tahun 2000, ahli perniagaan wanita itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun kerana gagal membayar hutangnya selepas perniagaannya jatuh.

“Saya tidak berputus asa dan saya memikirkan untuk melancarkan perniagaan sendiri dari dalam penjara,” kata wanita itu. “Pada mulanya ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tetapi saya berkeras untuk mencapai matlamat saya.”

Matlamat-matlamatnya bukan hanya membina perniagaan yang baik, tetapi juga mengajar para penghuni penjara wanita mengenai kraf tangan bagi membantu mereka mencari wang dan memulakan kehidupan baru apabila mereka dibebaskan kelak.

Di bawah projek yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri Mesir, setakat ini Fatma telah mengajar beratus-ratus orang penghuni penjara wanita mengenai pelbagai kraf tangan seperti menjahit, menenun, menyulam dan menghasilkan barangan serta aksesori kraf tangan.

Penjara Mesir memberikan tumpuan dalam melibatkan para penghuni penjara dalam kraf tangan, industri dan aktiviti yang akan menambah hasil pulangan, memulihkan moral dan membantu proses pemulihan mereka.
Penjara Mesir memberikan tumpuan dalam melibatkan para penghuni penjara dalam kraf tangan, industri dan aktiviti yang akan menambah hasil pulangan, memulihkan moral dan membantu proses pemulihan mereka.

Pada masa ini, terdapat 480 orang wanita bekerja di dalam penjara al-Qanater al-Khayriya di bawah pengawasan Fatma, yang digelar sebagai ‘Mama Fatma’ oleh sejumlah besar penghuni. “Beliau mempunyai bakat yang besar dan seorang yang penyayang,” kata Abeer, yang berusia lingkungan 30-an.

Fatma berkata kejayaannya itu juga atas usaha dan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa penjara.

“Pihak berkuasa penjara telah banyak membantu kami. Mereka menyediakan kami dengan bengkel-bengkel, bahan-bahan dan segala kelengkapan, malah menganjurkan pameran-pameran untuk kami mempamerkan produk kami di hotel-hotel, kelab-kelab sosial dan gedung-gedung besar,” katanya.

“Apa yang seseorang itu lihat dalam filem atau drama, dan mendengar dari kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan mengenai keadaan teruk di dalam penjara-penjara Mesir adalah palsu,” kata Fatma.

Dalam usaha untuk menyangkal tuduhan itu, Kementerian Dalam Negeri kini telah menganjurkan lawatan ke penjara bagi wartawan setempat dan asing, ahli-ahli parlimen dan juga aktivis kemanusiaan untuk melihat dengan lebih dekat keadaan sebenar di dalam penjara-penjara negara itu.

“Dasar kami memberikan tumpuan pada dua faktor, iaitu membantu penghuni berhubung dengan masyarakat dan pemulihan mereka agar dapat berintegrasi dengan baik dalam masyarakat apabila mereka dibebaskan kelak,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Major General Hassan al-Sohagy, dalam satu forum budaya yang diadakan di penjara Marg yang dihadiri oleh para wartawan dan akvitis kemanusian.

Beliau menambah dengan lebih lanjut bahawa penjara-penjara Mesir memberikan tumpuan yang meluas dalam melibatkan para penghuni penjara dalam kraf tangan, industri dan aktiviti yang akan menambah hasil pulangan, memulihkan moral dan membantu proses pemulihan mereka.

Para penghuni dikategorikan melalui usia, kebolehan fizikal dan pengalaman sebelumnya, dan kemudian akan ditempatkan dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pertukangan kayu, penghasilan perabot kayu dan logam, industri kraf tangan, ternakan dan sebagainya.

Selepas lima tahun, Fatma akan dibebaskan dari penjara dan menghirup udara kebebasan sekali lagi. Tetapi dengan mendapat kebebasannya itu tidak bermakna berakhirnya apa yang telah dimulakannya itu.

“Saya akan meneruskan impian saya dan membantu para penghuni ketika mereka di dalam penjara dan seterusnya, kerja hebat ini perlu diteruskan,” katanya dengan ceria. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA