Wanita penggerak pertumbuhan inklusif

Wanita penggerak pertumbuhan inklusif

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik Fora Wanita dan Ekonomi (APEC-WE Fora) 2015 telah berlangsung di Manila, Filipina, selama empat hari sehingga hari ini, dengan mengetengahkan tema ‘Wanita Sebagai Penggerak Utama Pertumbuhan Inklusif’.

Delegasi negara ke mesyuarat itu telah diketuai oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta perwakilan Majlis Perniagaan Wanita.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk Pelan Strategik Dasar Perkongsian Wanita dan Ekonomi 2015-2018 yang bermatlamat bagi pertumbuhan ekonomi yang mapan dan seimbang di rantau APEC yang lebih inklusif dan membolehkan lebih ramai wanita berjaya dan berkembang.

Datin Paduka Hajah Adina juga telah mengongsikan perkembangan wanita di Brunei Darussalam dengan mengetengahkan peranan menonjol wanita dalam masyarakat dan ekonomi serta mengakui perlunya suasana yang membolehkan wanita terlibat dalam pembangunan pertumbuhan inklusif.

Beliau seterusnya mengulangi kepentingan untuk melaksanakan dasar-dasar khas bagi menggalakkan kebingkasan dalam kalangan wanita serta melengkapkan wanita dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi meningkatkan kebolehsaingan mereka seperti yang digariskan dalam Wawasan Pembangunan Strategi dan Dasar 2035.

Datin Paduka Hajah Adina bersama pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta perwakilan Majlis Perniagaan Wanita di mesyuarat berkenaan.
Datin Paduka Hajah Adina bersama pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta perwakilan Majlis Perniagaan Wanita di mesyuarat berkenaan.

Dalam mesyuarat itu, beliau juga mengongsikan mengenai trend baru ahli perniagaan wanita muda dalam perniagaan ‘online’ menggunakan teknologi dan media sosial sebagai platform bagi pengiklanan.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil dari mesyuarat itu, satu kenyataan telah dikeluarkan yang antara lainnya mengetengahkan keperluan bagi pihak-pihak berkepentingan dalam sektor awam dan swasta supaya mempromosikan dan menghormati kepelbagaian gender di semua peringkat jawatan.

Selain itu, menggalakkan kepelbagaian dalam semua peringkat jawatan dan menggalakkan kedua-dua sektor membangunkan mekanisme untuk mengumpulkan data pengasingan gender, merangka polisi-polisi untuk memastikan pencapaian kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita serta menyediakan ketelusan awam mengenai tindakan-tindakan.

Mesyuarat yang disertai 21 negara ahli itu telah dirasmikan oleh Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Benigno S. Aquino III, manakala itu, Dialog Dasar Peringkat Tinggi pula dilancarkan oleh Setiausaha di Jabatan Perdagangan dan Industri Republik Filipina, Gregory L. Domingo dan dipengerusikan oleh Setiausaha Rendah di Jabatan Perdagangan dan Industri Republik Filipina, Nora K. Terrado.

ARTIKEL YANG SAMA