Wanita Pertama AS promosi pendidikan perempuan

Wanita Pertama AS promosi pendidikan perempuan

LONDON, 17 Jun (AFP) – Wanita Pertama Amerika Syarikat Michelle Obama mengumumkan rancangan untuk program berjumlah AS$200 juta untuk mempromosi pendidikan budak perempuan di seluruh dunia semalam ketika beliau melawat sebuah sekolah London pada awal kunjungan Eropah.

“Saya berada di sini kerana budak perempuan seperti kamu memberi inspirasi kepada saya,” beritahu Obama di Sekolah Perempuan Mulberry di timur London sebelum satu lawatan ke Downing Street, di mana beliau menikmati jamuan petang bersama Perdana Menteri David Cameron dan isterinya Samantha.

“Dengan pendidikan daripada sekolah ini, anda mempunyai segala yang diperlukan untuk bangkit daripada semua cabaran dan memenuhi setiap impian anda,” tambah beliau.

Wanita Pertama mengumumkan pelan untuk Britain dan Amerika Syarikat untuk memberi kuasa kepada perempuan remaja, dengan tumpuan khusus pada “negara lemah.”

Obama berkata 62 juta budak perempuan di seluruh dunia tidak menghadiri sekolah, menggelarnya “ketidakadilan yang menyedihkan” berpunca daripada faktor seperti perkahwinan paksa, kehamilan awal, penderaan dan seksisme.

Michelle Obama ketika melancarkan program berjumlah AS$200 juta untuk mempromosi pendidikan budak perempuan di seluruh dunia di sebuah sekolah di London. – AFP
Michelle Obama ketika melancarkan program berjumlah AS$200 juta untuk mempromosi pendidikan budak perempuan di seluruh dunia di sebuah sekolah di London. – AFP

Menulis dalam akhbar Financial Times, Obama berkata Britain dan Amerika Syarikat akan bekerjasama dalam latihan guru, kem kepimpinan budak perempuan dan program komuniti lain di negara membangun.

“Bersama, usaha tersebut berjumlah hampir $200 juta,” kata beliau.

Sekumpulan koir menyanyi “Something Inside So Strong” oleh Labi Saffre menyambut Obama ketika beliau tiba di sekolah itu.

Wanita Pertama menyampaikan ucapannya di luar Amerika Syarikat di sebuah sekolah di utara London pada 2009, dan seterusnya menjemput sekumpulan murid ke Rumah Putih.

“Tatkala saya berdiri dalam bilik yang penuh dengan budak perempuan, apa yang dapat saya fikirkan adalah betapa besarnya harapan mereka,” kata beliau.

“Budak perempuan berkenaan merupakan inspirasi untuk kerja-kerja saya sebagai Wanita Pertama.”