Wanita pertama Pemandu Jentera Berat

Wanita pertama Pemandu Jentera Berat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Mei – Biarpun menyedari cabaran dan risiko menceburi kerjaya Pemandu Jentera Berat amat besar, tambahan lagi bagi seorang wanita, beliau tetap menyahutnya, nekad membulatkan hasrat untuk tidak akan berundur sebagai wanita pertama menggalas tugas yang dimonopoli kaum Adam itu.

Hajah Nurhafizah binti Haji Awang Yusof, 35, merupakan salah seorang daripada seramai 23 orang yang telah menamatkan Kursus Jentera Berat yang dijalani selama kira-kira lima bulan di Pusat Pembangunan Belia dan seterusnya menyertai Program Penempatan Kerja di syarikat-syarikat swasta tempatan yang mengendalikan perkhidmatan jentera berat bermula 18 November lalu.

Beliau yang ditemui Media Permata hari ini, berkata, dia memilih kerjaya itu demi memenuhi keperluan pasaran yang dilakukan oleh anak-anak tempatan dan sudah bersedia untuk berdepan segala cabaran yang mendatang, meskipun beliau satu-satunya peserta kursus daripada kalangan wanita.

Menurutnya lagi, sebelum kursus dimulakan, semua peserta telah dilibatkan dalam program ketahanan mental dan fizikal termasuk tidur semalaman di hutan semasa latihan diadakan di Outward Bound Temburong selama enam hari.

“Semua yang dilakukan oleh peserta lelaki, saya mesti melakukan sama, dan setentunya cabaran amat besar kerana hanya saya seorang saja peserta wanita, tetapi saya teguhkan semangat untuk melepasi latihan dengan sebuah harapan saya berjaya terpilih menyertai kursus pemandu jentera berat ini,” ujarnya, yang juga mendakwa menerima dorongan daripada kedua-dua ibu bapanya.

Awang Mohd Zaini menerima anugerah pelajar terbaik daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Awang Mohd Zaini menerima anugerah pelajar terbaik daripada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

“Sebelum ini saya juga pernah bekerja dalam bidang jualan peralatan penting kenderaan di sebuah syarikat tempatan, dan latar belakang saya memang sering memandu sendiri dan bersama keluarga sehingga sejauh ke Kota Kinabalu, dan negara jiran lainnya, dan demi memperbaiki tahap hidup kepada yang lebih mampan, saya akan menghadapi cabaran ini sebagai penyuntik semangat yang semakin kuat,” tambahnya lagi yang sebelumnya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Lambak Kanan.

Dalam pada itu, Hajah Nurhafizah juga berharap supaya syarikat tempatan yang mempunyai perusahaan dalam mengendalikan perkhidmatan jentera berat, akan dapat membukakan peluang seluas-luasnya kepada anak-anak tempatan yang sudah memperolehi kemahiran antaranya seperti yang mempunyai lesen memandu kelas 2,3,4,5,6 dan 11 yang diiktiraf antarabangsa.

Sementara itu pula, Awang Mohd Zaini bin Awang Zaidin, 25, telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik sepanjang Kursus Pemandu Jentera Berat kali ke-5 diadakan, ini kerana beliau banyak menunjukkan prestasi baik melalui PAKAT yang mengutamakan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE), memberikan teguran demi sama-sama mengawal HSE sesama rakan sekerja, semasa menjadi peserta Penempatan Industri Kerja dengan Syarikat Razali bin Amat, di sini.

Hajah Nurhafizah merupakan peserta wanita kursus Pemandu Jentera Berat yang pertama setakat ini.
Hajah Nurhafizah merupakan peserta wanita kursus Pemandu Jentera Berat yang pertama setakat ini.

Beliau yang sebelum ini hanya bekerja sebagai Packers di Syarikat Jasra Harrison, telah mencuba peluang menyertai kursus berkenaan setelah mendapat tahu mengenai tawarannya melalui promosi dalam radio, dengan mencuba permohonan tanpa berhenti daripada pekerjaannya, sehinggalah dia berjaya menembusi program ketahanan mental dan fizikal dan seterusnya menamatkan kursus berkenaan.

“Saya juga merasa bersyukur kerana terpilih sebagai pelajar terbaik, tanpa saya duga sebenarnya, tetapi ianya benar-benar telah menyuntikkan semangat dan memotivasikan saya untuk terus meningkatkan kejayaan dalam kerjaya ini, dan juga rasa bersyukur, kerana telah diterima bekerja di syarikat tempat saya ditempatkan untuk latihan penempatan kerja, iaitu Syarikat Razali bin Amat yang beroperasi di Muara,” ujarnya.

Semasa ditanya mengenai dengan cabaran kerja tersebut, beliau berkata, memandu kenderaan berat contohnya treler jauh bezanya daripada memandu kenderaan biasa, perlu bijak mengendalikannya terutama sekali semasa mengundurkan kenderaan berat itu.

Ramai juga kalangan peserta kursus itu memberitahu, walaupun cabaran amat besar di hadapan mereka dalam kerjaya sebagai pemandu jentera berat, tetapi mereka perlu menerokainya demi memenuhi pasaran tempatan dan demi untuk mengurangkan ia terus dipenuhi oleh pekerja asing.

Kursus pemandu jentera berat, selama lima bulan kali ke-5 kendalian Pusat Pembangunan Belia melalui usaha sama Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian melalui Program Rangka Kerja Kompetensi Industri Tenaga di bawah biayaan Dana Sumber Manusia Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), setakat ini telah melahirkan lebih 60 peserta belia tempatan dan hampir 100 peratus lepasan kursus telah memperolehi pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA