Wanita punyai peranan perangi ekstremisme secara holistik

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Perbincangan mengenai peranan wanita dalam pencegahan ekstremisme ganas (PVE) pada Dialog Serantau ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kerjasama Keselamatan-Politik (AURED IV) dilihat tepat pada masanya bagi menangani punca ekstremisme ganassecara holistik.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim berkata penglibatan aktif wanita dalam memerangi ekstremisme ganas menjadi faktor utama untuk mencapai keamanan, kestabilan dan keselamatan masyarakat antarabangsa secara keseluruhan.

“Jika kita hendak berjaya dalam usaha mengekang keganasan ini, maka adalah penting kita memerangi keganasan di semua peringkat, baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa,” kata beliau dalam ucapan sebelum merasmikan dialog itu secara rasmi, di sini hari ini. AURED IV selama dua hari yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Luar, PBB dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Ketika mengimbas kembali komitmen Malaysia dalam menangani ekstremisme ganas, Ramlan menyenaraikan penekanan Malaysia bagi langkah-langkah pencegahan yang efektif termasuk mempromosikan kesederhanaan, melaksanakan program deradikalisasi dan pemulihan, serta mengukuhkan peranan wanita dalam pelbagai platform.

Menurut beliau, program ini yang dilengkapkan dengan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan telah mencatatkan kadar kejayaan 97.5 peratus dan Malaysia akan terus berkongsi modulnya dengan negara-negara lain. – Bernama