Wanita rugi RM14,500 ditipu kenalan Facebook

Wanita rugi RM14,500 ditipu kenalan Facebook

SIBU, 8 Dis – Seorang wanita kerugian kira-kira RM14,500 selepas ditipu kenalan Facebook, demikian menurut laporan Utusan Borneo edisi online hari ini.

Menurut laporan itu, mangsa mendakwa, semuanya bermula pada saat kenalannya itu memperkenalkan diri sebagai David Wong memberitahu hasrat ingin bekerja di luar pesisiran pantai.

Sebelum bertolak, suspek dalam perbualan menerusi pesanan Facebook memberitahu akan mengirimkan hadiah kepada mangsa selain berjanji datang ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pada 29 November lalu, mangsa sekali lagi menerima pesanan daripada suspek mendakwa hadiah yang dijanjikannya sebelum ini telah dikirimkan.

Suspek mendakwa di dalam bungkusan kirimannya mengandungi sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan seutas rantai emas serta beg dan jam tangan berjenama.

Turut dikirimkan bersama dalam bungkusan itu ialah sejumlah wang tunai mata wang asing berjumlah RM15,000. Mangsa juga diberitahu supaya tidak memberitahu bahawa di dalam bungkusan yang dikirim melalui khidmat kurier itu mengandungi wang tunai.

Lebih menarik, mangsa turut diminta mendermakan sebanyak 10 peratus daripada wang tersebut kepada badan kebajikan.

Mangsa yang tidak mengesyaki sesuatu mempercayai bulat-bulat apa yang diberitahu suspek.

Sehinggalah dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa daripada pihak kurier. Wanita terbabit meminta mangsa membayar wang tunai sejumlah RM3,500 untuk cukai ke atas bungkusan yang dikirimkan oleh suspek.

Pada 30 November lalu, jam 2.30 petang mangsa kemudian mengirimkan wang tunai yang diminta ke akaun milik seorang lelaki.

Keesokan harinya (1 Disember) mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon dan meminta bayaran sejumlah RM11,000.