Wanita seludup rokok didenda $3,200

Wanita seludup rokok didenda $3,200

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160907_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Seorang wanita tempatan dijatuhi denda $3,200 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan menyeludup masuk rokok tanpa permit ke negara ini.

Rusmah binti Haji Ismail, 41, mengaku bersalah memiliki sebanyak 110 paket rokok di dalam kereta yang dipandunya ketika ditahan oleh pegawai pemeriksa kastam di Pos Kawalan Kuala Lurah, pada 17 Ogos 2016 sekitar jam 11:31 pagi.

Pegawai Pendakwa Kastam dalam fakta kesnya menyebut, defendan hanya berdiam diri apabila ditanya oleh pegawai kastam yang bertugas sama ada dia ada membawa barangan yang perlu diisytiharkan.

Pemeriksaan kemudian dijalankan di mana mereka menemui sejumlah paket rokok disimpan di beberapa bahagian kereta. Defendan mengaku kesemua rokok itu adalah miliknya di mana dia membelinya di Limbang pada harga $7 dan $10 sekarton dan rokok-rokok itu adalah untuk dijual di negara ini.

Pegawai Pendakwa Kastam memaklumkan mahkamah bahawa cukai untuk kesemua rokok itu ialah $530.

Ketua Majistret memberi tempoh selama tiga bulan kepada defendan untuk membayar denda itu, dan jika gagal akan berdepan tiga bulan penjara.

ARTIKEL YANG SAMA