Wanita tempatan dijatuhi denda $20,000

Wanita tempatan dijatuhi denda $20,000

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150812_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Gara-gara memiliki rokok seludup, seorang wanita tempatan dijatuhi denda $20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Jailawati binti Damit, 32, didakwa memiliki 56 karton rokok pelbagai jenama ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 28 April sekitar jam 7:20 pagi.

Terdahulu, defendan yang mempunyai empat orang anak merayu kepada mahkamah supaya hukuman ke atasnya dapat diringankan.

“Kenapa kamu melakukan kesalahan itu,” tanya Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman.

“Suami saya tidak bekerja kerana mengidap masalah buah pinggang dan saya hanya menerima elaun sebanyak $200 setiap bulan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat yang mana ianya tidak mencukupi untuk menyara saya sekeluarga,” jawab defendan.

Pemangku Majistret Kanan memerintahkan defendan untuk membayar $1,000 setiap bulan bermula 29 September 2015, dan jika gagal akan berdepan 12 bulan penjara. Berdasarkan kertas pertuduhan, defendan dari STKRJ Kampung Rimba ditahan oleh pegawai kastam yang bertugas di pos kawalan di mana defendan memberitahu dia tidak membawa barang untuk diisytiharkan.

Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta yang dipandunya menemui rokok-rokok itu disembunyikan di bahagian tayar ganti kereta.

Ketika disoal siasat, defendan mengaku kesemua rokok yang dibelinya di Limbang itu miliknya untuk tujuan dijual.

ARTIKEL YANG SAMA