Wanita tua rentung

Wanita tua rentung

LAWAS, 1 Nov – Seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan rentung oleh anggota bomba dalam operasi memadam kebakaran dua buah rumah kayu di Kampung Gelapas Trusan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu mangsa Tiamah Montol, 90, ditemui rentung keseluruhan badan dalam biliknya 10 minit sebelum operasi memadam ditamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Mohd Shamlie Radae berkata Tiamah dijumpai jam 5:40 pagi sebelum operasi memadam ditamatkan.

Manakala anak mangsa Sulaiman@Alias Murah berjaya menyelamatkan diri namun melecur di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Lawas.

Beliau berkata lagi seramai tujuh anggota bomba diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Dua, Masli Dollah bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya kira-kira 23 km dari balai.“Seramai tujuh anggota membabitkan dua kenderaan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 4:25 pagi,” ujarnya di sini semalam.

Mayat Tiamah dibawa ke Hospital Lawas.
Mayat Tiamah dibawa ke Hospital Lawas.

Jelasnya lagi api terkawal kira-kira jam 5:02 pagi dan operasi tamat jam 6:50 pagi

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejadian itu memberitahu kebakaran membabitkan rumah kayu setingkat yang merebak ke rumah berhampiran.

Ujarnya hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua buah rumah telah terbakar.

“Rumah berkenaan didiami empat penghuni terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan,” katanya.

Mereka ialah Sulaiman@Alias Murah yang melecur di dahi dan belakang badan dan telah dihantar ke Hospital Lawas, Halimah Mansur, Asmali Alias dan Tiamah Montol yang rentung dalam kejadian itu.