Wanita UAE dihukum bunuh

Wanita UAE dihukum bunuh

RIYADH, 13 Julai (Reuters) – Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan hukuman mati ke atas seorang wanita UAE yang disabit bersalah melakukan keganasan pada awal hari ini setelah melakukan pembunuhan diinspirasikan oleh militan ke atas seorang guru tadika Amerika pada Disember 2014, lapor agensi berita WAM.

Ala’a Badr Abdullah al-Hashemi, 31, dijatuhi hukuman mati setahun lalu kerana menikam warga kelahiran Romania Ibolya Ryan, ibu kepada anak kembar berusia 11 tahun, dalam tandas sebuah gedung membeli-belah Abu Dhabi dan cuba mengebom seorang doktor Amerika-Mesir.

Hashemi juga disabit bersalah menubuhkan akaun sosial media untuk menyebarkan ideologi militan dengan tujuan melemahkan kerajaan dan memberikan wang kepada pertubuhan militan untuk membuat serangan, lapor WAM.

Laporan tidak mendedahkan bagaimana Hashemi dihukum mati.

Polis berkata pada tahun lalu Hashemi telah menjadi radikal menerusi Internet dan tidak menyasarkan warga Amerika, tetapi sedang mencari seorang warga asing untuk dibunuh secara rambang.

Serangan ke atas warga Barat jarang berlaku di UAE, pusat pengeksport minyak dan pelancongan kaya namun kebimbangan telah meningkat selepas beberapa siri serangan Islam di negara Teluk lain termasuk Arab Saudi dan Kuwait.

UAE telah menyertai serangan udara di Syria ke atas kumpulan Negara Islam (IS), yang telah menggesa penduduk beragama Islam di negara Teluk supaya menyasarkan ekspatriat Barat sebagai tindakan balas atas serangan ke atas mereka.

UAE juga penentang kuat kumpulan Islam lain termasuk kumpulan Persaudaraan Islam (Muslim Brotherhood).