Wanita warga asing kena penjara 5 bulan

Wanita warga asing kena penjara 5 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan ke atas seorang wanita warga Thailand atas kesalahan tinggal di Brunei Darussalam melebihi tempoh yang ditetapkan.

Motana Amonpanchasap, 37, dari Wilayah Phanomsarakam, Thailand mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, yang mana tanpa suatu sebab yang munasabah, telah berada di negara ini selama 697 hari, sejak 9 Jun 2013 sehingga 6 Mei 2015.

Fakta kes menyebut, tertuduh pada 6 Mei 2015 telah pergi ke Kedutaan Thailand untuk mendapatkan bantuan berhubung dengan pas lawatannya yang telah mansuh di mana pegawai dari kedutaan tersebut kemudian membawa tertuduh ke Jabatan Imigresen.

Siasatan mendedahkan tertuduh memasuki negara ini sekitar Mei 2013 untuk mencari pekerjaan, dan diberi pas melawat selama 14 hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Sebelum pas lawatannya mansuh, tertuduh pergi ke Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah untuk mendapatkan pas lawatan baru, dan kali terakhir pas tertuduh dilanjutkan adalah sehingga 8 Jun 2013 disertai dengan endors “tempoh lanjutan tidak dibenarkan”.

Tertuduh didapati gagal untuk meninggalkan negara ini selepas 8 Jun 2013, dan terus berada di negara ini sebagai amah sementara.

ARTIKEL YANG SAMA