Wanita warga emas ditemui mati lemas

Wanita warga emas ditemui mati lemas

SARIKEI, 12 Sept – Seorang wanita warga emas dari Rumah Lingga, Sungai Selangan dekat sini, yang dilapor hilang sejak petang Khamis, ditemui mati lemas di Ulu Sungai Selangan.

Mayat mangsa Labi Jaman, 63, ditemui oleh suaminya kira-kira 12.30 tengah hari tadi, dua kilometer daripada lokasi beliau dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diketuai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dengan dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk rumah panjang, dimulakan sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 6.49 petang Sabtu.

Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei membawa mayat warga emas Labi Jaman, 63, yang ditemui mati lemas di Ulu Sungai Selangan kira-kira 12.30 tengahari pada 11 September 2016. – Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei membawa mayat warga emas Labi Jaman, 63, yang ditemui mati lemas di Ulu Sungai Selangan kira-kira 12.30 tengahari pada 11 September 2016. – Bernama

Beliau berkata suami mangsa yang menyedari kehilangan isterinya apabila kembali ke rumah panjang mereka pada petang Khamis, telah meminta bantuan penduduk rumah panjang berkenaan untuk mencari mangsa.

Bagaimanapun setelah gagal menemui isterinya, suami mangsa membuat laporan polis pada 5.30 petang semalam. – Bernama