Wanita warga Vietnam didenda $500

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seorang wanita warga Vietnam yang terlibat dalam aktiviti pelacuran dihukum denda $500 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman ke atas Nguyen Thi Trang, 35, yang mengaku bersalah menawarkan khidmat seksual dengan bayaran $90 kepada seorang lelaki.

Menurut fakta kes, tertuduh memasuki negara ini pada 25 Disember 2017 menggunakan pas melawat dan tinggal di sebuah hotel di Jalan Gadong.

Tertuduh pada 9 Januari 2018 menerima panggilan daripada seorang lelaki melalui WhatsApp, yang mana tertuduh telah menawarkan khidmatnya.

Pada hari yang sama sekitar jam 3:30 petang, lelaki itu pergi ke hotel tersebut dan menyerahkan wang itu kepada defendan.

Lelaki itu kemudian pergi ke tandas sementara menunggu anggota polis dari Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat membuat serbuan ke bilik itu.

Polis menemui wang berjumlah $651 daripada beg tangan tertuduh dan turut menemukan tiub pelincir yang belum digunakan dan kondom dalam bilik tersebut.

Tertuduh mengakui yang wang itu adalah hasil daripada perkhidmatannya dan pelincir serta kondom adalah miliknya.

Kes tertuduh didakwa Timbalan Pendakwa Raya, Kamilah binti Awang Mohamad.