Waran tangkap letupan kedua dikeluarkan

Waran tangkap letupan kedua dikeluarkan

BANGKOK, 28 Ogos – Waran tangkap telah dikeluarkan bagi tersangka yang tidak didedahkan identitinya, dalam letupan bom di jeti Bangkok yang berlaku sehari selepas kejadian letupan bom paling teruk di Thailand yang mengorbankan 20 orang di sebuah kuil popular, menurut polis Thailand hari ini.

Jurucakap polis, Prawut Thawornsiri berkata mahkamah telah mengeluarkan waran itu berdasarkan rakaman video yang memaparkan seorang lelaki berbaju biru yang menendang beg ke dalam air berhampiran jeti pada malam 17 Ogos, tidak lama selepas letupan di kuil Hindu Erawan, Bangkok.

“Kami telah mengeluarkan waran tangkap bagi tersangka dalam kejadian jeti Sathorn,” jurucakap polis Prawut Thawornsiri memberitahu Reuters, yang merujuk kepada sebuah jeti berhampiran sungai Chao Phraya, Bangkok.

Tersangka itu bakal berdepan dakwaan secara haram memiliki bahan letupan, meletupkan bom yang boleh mengakibatkan bahaya dan cubaan membunuh, menurut waran tangkap itu.

Letupan di jeti itu tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan.

Pihak polis tidak dengan jelas mengaitkan kedua-dua letupan itu dan memberikan beberapa jawapan tentang siapa mungkin menjadi dalang serangan itu.

Dalam penyiasatan ke atas letupan bom di kuil itu, pihak polis menumpu pada seorang lelaki yang dilihat dalam rakaman kamera keselamatan.

Video itu menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning dan berambut hitam mengalihkan beg galas selepas memasuki kuil penuh sesak dengan ramai orang dan dengan tenang berjalan meninggalkan tempat kejadian sebelum letupan itu.

Minggu lalu polis telah mengeluarkan waran tangkap bagi ‘lelaki asing yang tidak dikenal pasti’ yang dilihat dalam rakaman video bersama-sama imej pengebom yang disyaki.

Prawut berkata polis tidak mungkin mengeluarkan gambar pengebom jet yang disyaki. “Kami tidak mungkin membuat lakaran tersangka kerana wajahnya tidak jelas,” katanya.

Pengeboman kuil Erawan telah menjejaskan pelancongan dan mengakibatkan pengurangan 17 peratus ketibaan pelancong, menurut kementerian pelancongan Thailand Rabu lalu.

Empat belas orang warga asing adalah antara 20 orang yang terbunuh dalam serangan itu di kuil Hindu terkenal itu di tengah komersial Bangkok yang sibuk. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA