Warga 25 tahun ke atas akan terima $500

Warga 25 tahun ke atas akan terima $500

SINGAPURA, 8 Nov – Mulai 1 Januari tahun depan rakyat Singapura berumur 25 tahun ke atas akan mendapat $500 kredit untuk meningkatkan diri dan menambah kemahiran mereka melalui 10,000 kursus yang ditawarkan.

Lebih dua juta rakyat Singapura dalam lingkungan usia itu layak menerima Kredit SkillsFuture itu dengan wang permulaan $500, lapor Berita Harian edisi online hari ini.

Ini boleh digunakan untuk membiayai kursus-kursus yang diluluskan pemerintah dalam 57 bidang, termasuk kursus tambah pengetahuan di tempat kerja, kursus Sarjana dalam kejururawatan atau latihan memasak di restoran.

Pemangku Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung, mengumumkan tarikh permulaan kredit itu semalam di Festival Pembelajaran Sepanjang Hayat SkillsFuture Kredit.

Ong berkata skim itu bertujuan bukan hanya memberi geran kewangan, malah merupakan isyarat jelas bahawa setiap warga Singapura diberi kuasa memperkasa diri dan menjaga peningkatan mereka dari segi kemahiran. Kredit SkillsFuture, yang pertama kali diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tharman Shanmugaratnam, semasa Bajet pada Februari lalu, bertujuan menyokong rakyat Singapura dalam pembelajaran sepanjang hayat.

Warga Singapura akan menerima surat pada Januari ini mengenai pengaktifan akaun kredit SkillsFuture mereka.

Kredit itu tidak akan luput dan akan ditambah dari masa ke masa oleh pemerintah.

Pada festival dua hari anjuran Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) itu juga, Ong turut mengumumkan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat baru berjumlah $3 juta iaitu Dana LearnSG Seed.

Dana yang ditubuhkan oleh Majlis Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan sokongan WDA itu mempelawa individu dan kumpulan mengemukakan cadangan mereka mulai tahun depan bagi projek-projek yang diterajui masyarakat bagi menggalakkan pembelajaran.

ARTIKEL YANG SAMA