Warga Ampa-09 sambut Ulang Tahun Hari Keputeraan

Warga Ampa-09 sambut Ulang Tahun Hari Keputeraan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Haji Zulfadli Haji Nasu

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Para pekerja pelantar minyak Ampa-09 Crew B hari ini berkumpul seawal 6:30 pagi bagi menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 tahun.

Majlis diketuai oleh Ketua Penghasilan Ampa-09 Crew B, Haji Darus bin Haji Omar dan disertai oleh seluruh warga kerja di pelantar berkenaan bagi menyerakkan lagi sambutan tahun ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Pelantar Minyak Ampa-09 Crew B, Awang Qayyum bin Senusi sebelum seluruh warga kerja di sana menyanyikan beramai-ramai lagu Dirgahayu.

Menurut Jurucakap Pelantar minyak Ampa-09 Crew B, majlis berkenaan bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan, sekali gus menerapkan sikap sayangkan raja dalam kalangan pekerja pelantar minyak di sana.

Warga pelantar minyak Ampa-09 Crew B turut menyemarakkan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun dengan kibaran Bendera Kebangsaan.
Warga pelantar minyak Ampa-09 Crew B turut menyemarakkan Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-70 tahun dengan kibaran Bendera Kebangsaan.

Majlis itu juga menjadi wadah untuk membuktikan ketaatsetiaan setiap warga di sana akan pucuk kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku pemimpin yang berwibawa dan bijaksana menerajui Negara Brunei Darussalam yang tercinta.

Pada akhir majlis, seluruh warga melaungkan ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ dan diikuti menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Kami mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan semoga dipanjangkan usia serta kekal karar di atas takhta Negara Brunei Darussalam,” ujar jurucakap pelantar berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA