Warga AS maut di kilang bahan letupan

Warga AS maut di kilang bahan letupan

SOFIA, 7 Jun (Reuters) – Letupan di sebuah kilang bahan letupan tentera di bahagian tengah Bulgaria mengorbankan seorang warga Amerika Syarikat dan mencederakan empat yang lain semalam, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Sofia.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Bulgaria berkata kemalangan berlaku ketika sesi ujian di sebuah padang tembak terletak di dalam kompleks tentera di kampung Anevo – sebahagian dari bangunan kilang pengeluar senjata milik negara, VMZ Sopot.

“Kedutaan AS dengan rasa kesal mengesahkan kematian salah seorang kontraktor Jabatan Pertahanan dan kecederaan dialami dua kontraktor lain serta seorang penterjemah Bulgaria dalam kemalangan ketika latihan pada 6 Jun di Anevo,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Bulgaria sedang menyiasat punca kemalangan itu.

Kedutaan AS pula berkata ia tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

Beberapa siri letupan kuat di loji bahan letupan di barat laut Bulgaria mengorbankan 15 kakitangan dan mencederakan tiga yang lain pada Oktober lepas, hanya dua bulan selepas para pegawai kerajaan memberi amaran pelanggaran peraturan keselamatan yang serius di kilang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA