Warga asing gagal tunjuk dokumen sah

Warga asing gagal tunjuk dokumen sah

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Seorang lelaki warga asing telah ditahan setelah gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah dalam Operasi Cekup Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), di kawasan tapak pembinaan di Mukim Sengkurong dan Mukim Gadong, kelmarin.

Lelaki berkenaan ditangkap semasa para pegawai Bahagian Penguatkuasaan JIPK melaksanakan pemeriksaan mengejut di kawasan tempat tinggal pekerja binaan bangunan kerajaan di Mukim Gadong dan dipercayai menyalahgunakan pas Imigresen dengan berniaga menjual sayur-sayuran.

Manakala itu, lelaki terbabit yang telah ditahan sementara di Balai Polis BSB bagi siasatan lanjut, telah dibebaskan dan dikeluarkan pas khas bagi siasatan lanjut setelah pihak majikan membawa pasport ke bahagian itu.

Menurut kenyataan JIPK, hari ini, operasi yang melibatkan 14 pegawai penguat kuasa dengan diketuai oleh ketua pegawai imigresen kanan itu dilaksanakan atas tindakan maklumat terkumpul dan aduan daripada orang ramai.

Jika sabit kesalahan akan dikenakan tindakan kompaun, pas Imigresen dibatalkan dan dipulangkan ke negara asal serta ditegah untuk memasuki semula ke negara ini.

Sehubungan itu, JIPK akan terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di negara ini dengan melakukan operasi-operasi sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA